Isu SemasaPolitikTempatan

DAP Tidak Takut Untuk Keluar Daripada Pakatan Harapan?

Dalam satu kenyataan baru-baru ini, Penasihat Parti Tindakan Demokratik (DAP), Lim Kit Siang menegaskan bahawa DAP tidak akan teragak-agak untuk meninggalkan Pakatan Harapan (PH) sekiranya blok itu mengabaikan matlamatnya membangunkan Malaysia Baru.

“Pemimpin-pemimpin DAP berada dalam kerajaan kerana kita boleh memainkan peranan penting untuk membina Malaysia Baru dan selamatkan Malaysia daripada demokrasi olok-olok, kakistokrasi, negara yang gagal, dan kleptokrasi global.

“Pemimpin-pemimpin DAP, sama ada di dalam kerajaan mahupun luar, kita tidak akan teragak-agak untuk meninggalkan kerajaan gabungan sekiranya objektif Malaysia Baru diabaikan,” kata beliau dalam catatan terbaru blognya.

Dalam pada itu, Lim turut menyatakan bahawa DAP tidak akan menjadi seperti Malaysian Chinese Association (MCA) yang disifatkan sebagai ‘lemah’.

Memetik laporan media tempatan, beliau berkata demikian bagi memberi respon terhadap kenyataan seorang ahli perniagaan bernama Clement Hii di Facebook, yang meluahkan kebimbangannya bahawa DAP boleh menjadi seperti MCA sekiranya tidak melaksanakan agenda perubahan yang sewajarnya.

Clement turut memuji kecekalan dan ketabahan Lim dalam memperjuangkan Malaysia yang lebih baik, sambil menyatakan bahawa “manusia biasa pasti sudah menyerah kalah.”

Ujar Lim, DAP tidak berhasrat dan tidak akan menjadi ‘MCA 2’.

Jelas beliau, DAP adalah parti berbilang kaum dan ia berjuang untuk semua rakyat Malaysia, dan pemimpin-pemimpinnya pula memasuki dunia politik demi berkhidmat kepada negara, bukan diri mereka sendiri, kekayaan atau kedudukan.

 

Sumber: NST

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button