Isu SemasaTempatan

Rafizi Beri Pesanan ‘Makan Dalam’ Kepada PH

Pada 19 Disember, bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli telah memberi pesanan berbentuk peringatan dan teguran terhadap barisan pemimpin Pakatan Harapan (PH).

Rafizi berkata, rakyat mengambil masa yang agak lama untuk kembali tenang daripada rasa teruja pertukaran bersejarah kerajaan berikutan kekalahan Barisan Nasional (BN) buat pertama kali dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) selepas 61 tahun memerintah Malaysia.

Namun ujar beliau, rasa teruja itu memberi kesan kepada pentadbiran PH yang dilihat “tergelincir sedikit” akibat masa “bulan madu yang terlalu lama.”

“Perubahan sikap rakyat terhadap PH, apabila mereka kembali tenang dan objektif, boleh membawa padah politik jika tidak diurus segera. Ada tanda-tanda bulan madu itu sudah hilang madunya, mungkin berganti pahit,” katanya.

Menerusi blognya, Rafizi menyuarakan pandangannya mengenai pelbagai isu berhubung pentadbiran PH termasuk populariti yang menjunam, defisit undi Melayu, serta perkara-perkara berkaitan ekonomi.

POPULARITI MENJUNAM

Menurut Rafizi, populariti kerajaan pimpinan PH kini jatuh merudum berbanding di peringkat awal tempoh pentadbiran.

Berdasarkan kaji selidik yang dilakukan pada bulan Jun 2018, 72% responden gembira dengan prestasi Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-7.

Jelas beliau, responden Cina memberikan markah tertinggi terhadap prestasi Perdana Menteri iaitu 87%, diikuti responden India yang memberi 84%.

Bukan itu sahaja, malah walaupun PH tidak memenangi undi Melayu dalam PRU14, 66% responden Melayu dilihat berpuas hati dengan prestasi Dr. Mahathir.

Tetapi, menerusi kaji selidik yang serupa pada dua minggu lalu, populariti Perdana Menteri mencatatkan 53% sahaja.

“Ada penurunan mendadak sebanyak 20% di kalangan responden dari ketiga-tiga kaum – Melayu (dari 66% kepada 45%), Cina (dari 87% kepada 65%) dan India (dari 84% kepada 64%),” kata Rafizi.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu turut berkata, populariti Menteri Besar di beberapa negeri dilihat mempunyai populariti yang lebih tinggi berbanding Perdana Menteri.

DEFISIT UNDI MELAYU

Mengulas tentang jumlah sokongan pengundi Melayu kepada PH pada PRU14 lalu, Rafizi menyatakan bahawa ia berbeza dari satu negeri ke satu negeri.

– PH menerima kurang daripada 30% undi Melayu di peringkat nasional

– Dalam kalangan parti-parti komponen PH, PKR menerima undi melayu yang tertinggi, iaitu 31%

– Sokongan Melayu terhadap Parti Amanah Negara (PAN) hanya 26%, diikuti Parti Pribumi Malaysia (PPBM), 21%

Jumlah sokongan Melayu kepada PH mengikut negeri pula dipecahkan kepada empat kategori:

1. Peratusan undi Melayu kepada PH melebihi 40% (Selangor, Wilayah Persekutuan and Penang)

2. Peratusan undi Melayu kepada PH antara 30% ke 40% (Johor, Melaka, Negeri Sembilan and Kedah)

3. Peratusan undi Melayu kepada PH antara 20% ke 30% (Perak, Pahang and Perlis)

4. Peratusan undi Melayu kepada PH kurang dari 20% (Kelantan and Terengganu)

Daripada 97 kerusi parlimen yang dimenangi PH di Semenanjung, hanya 42 kerusi dari negeri-negeri yang undi Melayu kepada PH melepasi 40%.

Tegas Rafizi, 55 kerusi Parlimen yang berbaki itu pula akan berada dalam bahaya pada PRU15 nanti sekiranya ada perubahan undi ketara di kalangan pengundi Melayu.

PH MENANG PRU14 ATAS PLATFORM EKONOMI

Ujar Rafizi, walaupun PH tidak memenangi undi Melayu yang besar dalam PRU14, pakatan itu tetap memenangi majoriti di Parlimen memandangkan terdapat pengundi Melayu di kerusi-kerusi marginal yang beralih kepada PH.

“Mereka mengundi PH kerana tertarik dengan janji-janji ekonomi yang akan membantu kehidupan mereka, bukan kerana PH (dalam PRU14) berjaya meyakinkan mereka kita lebih “Melayu” dari UMNO dan PAS.

“Saya sentiasa ingatkan bahawa dimensi perkauman dan keagamaan akan tetap wujud dalam masyarakat kita sampai bila-bila. Setiap perkara akan diwarnai dengan pemahaman berkonteks kaum dan agama, baik di kalangan orang Melayu, Cina atau India (mungkin kurang sedikit di Sabah dan Sarawak).

“Sebagai parti politik, jalan terbaik ialah dengan memberi tumpuan kepada kesederhanaan fahaman perkauman dan dasar-dasar mesra rakyat, supaya perbincangan orang ramai tertumpu kepada cara-cara menambahbaik kebajikan rakyat,” tegur beliau.

TUNAIKAN JANJI-JANJI PILIHAN RAYA

PH dilihat gagal menunaikan sesetengah janji yang terkandung di dalam manifesto mereka ketika PRU14.

Tegas Rafizi, pentadbiran PH perlu memberi tumpuan kepada platform ekonomi, dan tidak terjebak dalam polemik perkauman dan keagamaan yang sempit.

“PH mesti kembali berusaha bersungguh-sungguh untuk memenuhi janji-janji pilihan raya. Kita mesti ada kesungguhan untuk memperbaiki mutu hidup rakyat seperti yang digambarkan semasa kempen PRU14, bukannya terus bermain dengan babak politik berpanjangan (tidak ubah seperti Malaysia di bawah BN).

“Saya memberi pesan agar pimpinan PH meneliti perkara-perkara ini dan membetulkan fokus kerajaan persekutuan,” ujar beliau.

 

 

***Untuk membaca pesanan penuh beliau, sila klik di sini.***

Show More

Related Articles

Back to top button