AntarabangsaIsu Semasa

SpaceX Batalkan Pelancaran Roket Satelit Beberapa Minit Sebelum Berlepas

Syarikat SpaceX milik Elon Musk telah menghentikan pelancaran satelit navigasi untuk tentera Amerika Syarikat (AS) ke ruang angkasa pada Selasa.

Difahamkan, roket Falcon 9 itu membawa sistem satelit GPS bernilai kira-kira AS$500 juta (RM2.08 bilion) yang dibina oleh syarikat aeroangkasa, Lockheed Martin Corp.

Ia sepatutnya berlepas dari tapak pelancaran Cape Canaveral, Florida selepas jam 9:30 pagi (waktu AS), namun ia terpaksa dihentikan beberapa minit sebelum berlepas.

“Pembatalan ini tercetus oleh komputer di dalam Falcon 9,” kata seorang pegawai SpaceX sambil menambah bahawa syarikat itu akan cuba melancarkan roket tersebut sekali lagi pada Rabu (waktu AS).

SpaceX menerusi Twitter kemudian menyatakan bahawa Falcon 9 berada dalam keadaan baik dan ia menangguhkan pelancarannya kerana berlaku sedikit kesilapan teknikal pada sensor peringkat pertama roket itu.

Sekiranya pelancaran seterusnya berjaya, ia akan menandakan satu kejayaan yang luar biasa bagi Musk, seorang usahawan bilionair yang  telah berusaha bertungkus-lumus selama bertahun-tahun untuk memasuki pasaran pelancaran roket tentera.

Pasaran itu dilaporkan telah lama didominasi oleh Lockheed dan Boeing Co.

Pada tahun 2014, SpaceX telah menyaman Tentera Udara AS sebagai tanda protes ke atas tender bernilai berbilion dolar yang dianugerahkan kepada United Launch Alliance gabungan Boeing dan Lockheed, memandangkan ia bukan tender terbuka.

Namun, SpaceX membatalkan saman tersebut setahun kemudian apabila Tentera Udara bersetuju untuk memberi tender terbuka.

Pada tahun 2016, SpaceX berjaya meraih kontrak bernilai AS$83 juta daripada Tentera Udara untuk melancarkan satelit GPS III, yang boleh bertahan selama 15 tahun di angkasa.

Dalam pada itu, pelancaran roket yang sepatutnya berlangsung pada Selasa itu adalah “langkah penting dalam memastikan kepimpinan Amerika di angkasa lepas”, menurut Naib Presiden AS, Mike Pence.

“Apabila ia beroperasi sepenuhnya, satelit GPS generasi terbaru ini akan memberi keupayaan baru kepada penggunanya, termasuk ketepatan tiga kali ganda dan sehingga lapan kali ganda keupayaan anti-jamming,” kata William Russel, jurucakap Tentera Udara AS dalam satu kenyataan.

Pada asalnya, pelancaran satelit GPS ini dijadualkan untuk berlepas pada tahun 2014, tetapi mengalami masalah dari segi pengeluaran.

 

Sumber: Reuters

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker