Isu SemasaPolitikTempatan

Mengapa Sebenarnya Nurul Izzah Lepaskan Semua Jawatan Dalam PKR?

Pada Isnin, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar telah membuat pengumumun yang mengejutkan, di mana beliau melepaskan semua jawatan yang disandangnya di dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta jawatan-jawatan di dalam kerajaan.

Pemangku Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkembangan dalaman di dalam Pakatan Harapan (PH) telah mendorong Nurul Izzah untuk bertindak sedemikian.

Jelas Saifuddin, beliau membuat kesimpulan tersebut berikutan pertemuannya dengan Nurul Izzah selama dua jam bagi mendapatkan penjelasan berhubung keputusannya itu.

Difahamkan, anak perempuan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu melepaskan jawatan selaku Naib Presiden PKR dan Pengerusi PKR Pulau Pinang.

“Ia bukan disebabkan isu-isu dalaman di dalam PKR seperti yang disifatkan oleh sesetengah pihak….tetapi ia lebih kepada apa yang sedang berlaku dalam PH sendiri.

“Mengenali Nurul Izzah selama kira-kira 20 tahun, beliau adalah seseorang yang mendukung idealisme perjuangannya, amat komited dengan agenda reformasi serta bersungguh-sungguh mahu melihat PH mengikut agenda ini demi kebaikan rakyat.

“Maka dengan itu, saya menghormati keputusannya,” kata Saifuddin.

Ujar beliau, Nurul Izzah telah memilih jalan yang terbaik buat dirinya dengan mengekalkan kedudukan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh supaya boleh terus menyuarakan pandangan menerusi Parlimen.

Tambah Saifuddin, Nurul Izzah turut meluahkan kekecewaannya memandangkan PH telah tersasar dari tujuannya yang sebenar.

“Kerana itu, beliau merasakan ia sukar dan ada kekangan untuk menyuarakan pendapat sekiranya terus mengekalkan jawatan.

“Tambahan pula, beliau sentiasa dilihat sebagai anak kepada Anwar Ibrahim (Presiden PKR) dan ibunya pula adalah Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail),” kata Saifuddin.

Mengulas tentang pengganti jawatan yang dilepaskan itu, Saifuddin menyatakan bahawa Nurul Izzah adalah Naib Presiden yang dilantik.

Oleh yang demikian, perlembagaan parti perlu dirujuk bagi situasi sebegini untuk melihat sama ada kekosongan itu boleh diganti secara lantikan oleh presiden parti.

“Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sedang bercuti sekarang, saya baru memangku dan diminta oleh presiden untuk menjalankan tugas bagi tempoh sehingga setiausaha agung (baharu) dilantik,” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata beliau belum menerima surat peletakan jawatan rasmi daripada Nurul Izzah.

Sumber: Bernama

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker