AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Pilpres 2019: Siapa Yang Akan Berjaya Memenangi Hati Rakyat?

Pada April tahun hadapan, Indonesia akan melangsungkan Pilihan Raya Presiden 2019 (Pilpres 2019).

Sementara kerajaan pemerintah pada masa kini berusaha bertungkus lumus untuk mengekalkan nilai matawang rupiah berikutan keadaan perdagangan global yang tidak menentu, antara isu utama lain yang turut diberi perhatian dalam pemilihan kali ini adalah peranan Islam dalam kehidupan awam, ketidaksamarataan, hutang asing, dan juga berita palsu.

Pilpres 2019 bakal menyaksikan pertembungan semula di antara Presiden Joko “Jokowi” Widodo dan pengerusi Parti Gerindra, Prabowo Subianto, sama seperti senario dalam pilihan raya sebelumnya pada tahun 2014.

Difahamkan, Jokowi merupakan pemimpin Indonesia pertama yang bukan dari kalangan golongan elit politik atau tentera.

Setakat ini, Jokowi dilaporkan masih menjadi kesukaan ramai. Beliau mendahului calon-calon lain dalam tinjauan pendapat terkini dan terus mengekalkan imejnya sebagai seorang pemimpin berjiwa rakyat yang merendah diri.

Dalam usaha mencerminkan imej yang lebih konservatif, Jokowi juga telah memilih pemimpin Majlis Ulama Indonesia, Ma’ruf Amin sebagai bakal timbalannya, jika mereka memenangi Pilpres 2019.

Prabowo pula membawa imej seorang individu yang kuat. Sebagai bekas pemimpin tentera (berpangkat leftenan jeneral), beliau mempunyai kredibiliti dalam isu-isu berkaitan keselamatan dan mempromosikan masyarakat yang “adil” menerusi kesejahteraan ekonomi dan politik.

Bakal timbalan Prabowo pula adalah Sandiaga Uno, seorang usahawan yang meletak jawatan sebagai timbalan gabenor Jakarta untuk bertanding di sisi bekas tentera itu.

Sandiaga mempunyai kredibiliti dari aspek ekonomi dan dilihat popular dalam kalangan pengundi-pengundi muda yang merupakan 30% daripada jumlah keseluruhan pengundi.

EKONOMI

Ekonomi akan menjadi aspek utama dalam kempen pilihan raya kali ini. Isu ini juga dilihat sebagai salah satu kelemahan Jokowi, di mana beliau telah ‘diserang’ dari pelbagai arah oleh Prabowo berhubungnya.

Namun, kedua-dua calon dijangka akan menarik perhatian pengundi dengan menjanjikan dasar-dasar ekonomi bersifat populis bagi penyelesaian ke atas masalah ketidaksamarataan sosial dan perdagangan global yang tidak menentu.

Pada bulan Oktober, matawang rupiah berada pada tahap yang terendah sejak tempoh lebih 20 tahun, dan ini sekali gus mendatangkan semula ‘kenangan pahit’ yang berlaku ketika krisis kewangan 1998.

Rupiah yang tidak stabil dikatakan akan memberi kesan terhadap perbelanjaan harian rakyat.

Menurut Prabowo, hutang asing Indonesia berpotensi menyebabkan negara muflis menjelang tahun 2030. Dakwaan itu ternyata mencetuskan kebimbangan kerana hutang asing kerajaan di bawah pentadbiran Jokowi telah meningkat sebanyak 49%, dipercayai kerana perbelanjaan besar dalam infrastruktur awam.

Walau bagaimanapun, dasar ekonomi pentadbiran Jokowi menunjukkan prestasi yang baik dari segi strategi pelaburan ekonomi jangka masa panjang, pembaharuan, dan liberisasi, termasuk menaiktaraf infrastruktur.

Dasar ekonomi Prabowo pula mungkin akan dipengaruhi oleh pendirian Sandiaga yang mesra perniagaan.

AGAMA DALAM POLITIK

Sejak kempen pilihan rayanya yang pertama, Jokowi telah menghadapi pelbagai kritikan berhubung kepercayaan agamanya.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, politik Islam telah mendapat momentum di Indonesia, memandangkan pelbagai pihak/kumpulan memperjuangkan kepentingan mereka menerusi saluran yang sah dan berdemokratik.

Kumpulan-kumpulan ini juga memainkan peranan penting dalam ‘menewaskan’ sekutu Jokowi, Basuki Tjahaja Purnama atau lebih dikenali sebagai “Ahok” yang merupakan individu beragama Kristian, dalam pilihan raya gabenor 2017.

Oleh itu, keputusan Jokowi memilih Ma’ruf Amin sebagai bakal timbalannya adalah salah satu usaha yang baik untuk memenangi hati pengundi-pengundi konservatif.

Ma’ruf juga aktif dalam mempromosikan pandangan “Islam sederhana” yang menekankan kestabilan dan toleransi.

ANCAMAN BERITA PALSU

Gejala berita palsu menjadi semakin berleluasa di laman-laman sosial di Indonesia, khususnya aplikasi WhatsApp.

Maklumat palsu telah mendatangkan kesan yang buruk terhadap negara itu, di mana ia telah mencetuskan rusuhan kes-kes yang menyaksikan sesetengah individu mengambil undang-undang di tangan sendiri.

Pihak kerajaan dan masyarakat sivil telah berusaha mendedahkan berita-berita palsu berkenaan dan menutup laman web serta pihak-pihak yang terbabit.

Walau bagaimanapun, tindakan tersebut sebaliknya menyebabkan pihak-pihak tertentu menuduh kerajaan melakukan sekatan kebebasan bersuara.

 

SIAPA YANG AKAN MENANG?

Kedua-dua calon pemimpin serta pasangan mereka perlu memperkenalkan dasar-dasar realistik dan bukan populis untuk menyelesaikan masalah-masalah utama di negara itu dengan baik.

Dasar berunsur populis mungkin akan memenangi hati rakyat ketika pilihan raya, tetapi ia tidak akan kekal lama dan akan mendatangkan kesukaran kepada pemimpin apabila tiba waktu untuk benar-benar merealisasikannya.

Siapakah di antara mereka yang akan menjadi pemimpin Indonesia yang seterusnya? Segalanya akan terjawab pada bulan April depan.

 

Sumber: The Diplomat

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker