Sukan

Felda United: Taknak Bayar Gaji Pemain Sedia Ada Tetapi Pemain Import Pula Diambilnya?

Isu pemain bola sepak tidak dibayar gaji sering berlegar-legar di arena bola sepak negara. Terkini FELDA United FC yang juga juara Liga Perdana musim ini berdepan masalah tunggakan gaji selama tiga bulan sejak September lalu.

Menurut HarianMetro, tunggakan gaji itu bukan sahaja membabitkan pemain, malah keseluruhan pasukan termasuk barisan kejurulatihan.

Sumber itu berkata, pengurusan kelab tidak seharusnya memberikan alasan menghadapi masalah kewangan kerana bajet pasukan sudah dimuktamadkan pada awal musim. Katanya, jika kelab menghadapi masalah kewangan, mereka tidak akan beraksi dalam saingan Liga M musim hadapan.

“Namun, The Fighters kini sedang membentuk pasukan bagi menghadapi saingan Liga Super selepas semusim beraksi di Liga Perdana musim ini.

“Oleh itu, kami meminta pengurusan kelab menyegerakan bayaran gaji kerana ada di kalangan pemain yang tidak dilanjutkan kontrak masih belum mendapat pasukan baharu,” katanya.

Musim ini, FELDA United yang beraksi di Liga Perdana muncul juara, sekali gus layak beraksi di Liga Super musim 2019.

Namun, masalah tunggakan gaji selama tiga bulan amat mengecewakan pemain yang bertungkus-lumus membantu The Fighters kembali ke Liga Super.

Pada masa yang sama Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFAM) menghentam beberapa pasukan yang ghairah menandatangani pemain baharu sedangkan dalam masa sama masih gagal menyelesaikan isu tunggakan gaji.

Izham Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFAM). Sumber Imej: goal.com

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Izham Ismail turut menggesa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) segera mengeluarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib, yang diadakan pada 6 Disember lalu.

“PFAM melihat pasukan-pasukan yang berhutang masih tidak mengambil inisiatif untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain, namun ironinya sangat rancak dalam menandatangani pemain baharu termasuklah pemain import bagi saingan musim hadapan.

“Perkara ini amat memalukan dan sangat dikesali, terutama bila mengenangkan pemain semakin terhimpit dengan hutang dan keterdesakan hidup akibat hilang punca pendapatan.

“PFAM juga ingin menggesa FAM segera mengeluarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib yang difahamkan diadakan telah diadakan pada 6 Disember 2018.

“Kelewatan keputusan ini akan memberi kesan besar kepada pemain, apabila pasukan terus ‘terlepas’ dari dikenakan hukuman sebelum saingan musim baharu bermula.

“Kredibiliti FAM selaku badan yang menaungi urusan bola sepak di Malaysia amat ditagih dalam situasi ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh UtusanMalaysia.

PFAM turut mengulas kenyataan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) yang menyatakan isu tunggakan gaji telah selesai.

“Untuk makluman, PFA masih tidak memberikan apa-apa status terkini berhubung tunggakan gaji tahun 2016 dan 2017.

“Selain itu, tunggakan gaji tahun 2018 akan dibayar secara beransur-ansur dan selagi bayaran akhir belum dibuat, isu tunggakan gaji ini tidak boleh dianggap telah selesai,” katanya lagi.

 

Sumber Imej Terencana: kitajuara.my (sekadar hiasan)

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker