AntarabangsaIsu Semasa

Presiden China Isytihar “Kemenangan Luar Biasa” Dalam Memerangi Rasuah

Baru-baru ini, Presiden China, Xi Jinping telah mengisytiharkan “kemenangan luar biasa” dalam perjuangan pentadbirannya memerangi rasuah dalam kalangan parti pemerintah, Parti Komunis, sambil menyatakan  bahawa kempen anti-rasuah ini akan diteruskan.

Xi berikrar untuk meneruskan kempen ini sehingga segala bentuk rasuah berjaya dihapuskan di setiap peringkat dalam Parti Komunis, bermula dari “lalat” di peringkat bawahan dan “harimau” berpangkat tinggi.

Ketika mesyuarat kepimpinan tertinggi parti pada bulan Oktober 2017, beliau menyatakan  bahawa perjuangannya menentang korupsi telah mencapai “momentum yang luar biasa.”

Akhirnya pada tahun ini, beliau mengumumkan bahawa perjuangan kini sudah mencapai “kemenangan luar biasa”, lapor media tempatan CCTV.

Menurut CCTV, perubahan daripada “momentum” kepada “kemenangan” itu mencerminkan betapa pentingnya pengadilan yang dilaksanakan oleh barisan kepimpinan tertinggi parti.

Difahamkan, pasukan pemantau rasuah China yang dikatakan “amat berkuasa” telah mengendalikan 464,000 kes dan menjatuhkan hukuman ke atas 406,000 pesalah dalam 9 bulan pertama tahun 2018.

“Kita perlu mengurangkan jumlah kes dan menghentikannya (rasuah) daripada terus berkembang,” kata barisan pemimpin Parti Komunis.

Dalam pada itu Xi berkata, usaha untuk membaik pulih struktur kempen anti-rasuah juga perlu diteruskan untuk memodenkan sistem pengawasan bagi anggota-anggota parti serta kakitangan kerajaan.

Difahamkan, Suruhanjaya Pengawasan Kebangsaan China telah ditubuhkan secara rasmi pada bulan Mac, dan penubuhan suruhanjaya ini memperluaskan lagi perjuangan menentang rasuah ke atas kakitangan kerajaan.

Penubuhan suruhanjaya ini juga memberi kuasa kepada pihak berkenaan untuk menjalankan “siasatan dalaman parti dan kaedah-kaedah soal siasat” yang disifatkan ‘berkontroversi’.

Sementara itu, terdapat juga sesetengah ahli akademik China yang menyuarakan kebimbangan bahawa pembaharuan kempen anti-rasuah ini akan memberi kesukaran kepada reformis undang-undang untuk melindungi hak-hak suspek ketika siasatan dilaksanakan.

 

Sumber: Reuters

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker