Isu SemasaTempatan

Malaysia ‘Hentam’ Keputusan Australia Iktiraf Baitulmaqdis Sebagai Ibu Kota Israel

Pada Sabtu, 15 Disember 2018, Perdana Menteri Australia, Scott Morrison telah membuat satu pengumuman yang ternyata mencetuskan kemarahan ramai.

Beliau menyatakan bahawa Australia secara rasmi mengiktiraf Baitulmaqdis Barat sebagai ibu kota Israel, dan langkah ini dilihat bercanggah dengan dasar mereka bagi negara-negara Timur Tengah.

Walau bagaimanapun, negara itu tidak akan memindahkan kedutaannya ke Baitulmaqdis Barat sehingga berlaku perjanjian damai secara rasmi di antara Israel-Palestin.

Berikutan itu, Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra), mengulangi pendirian tegas Malaysia bahawa penyelesaian dua negara, di mana Palestin dan Israel hidup bersebelahan dalam suasana aman berdasarkan perjanjian sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin, adalah satu-satunya jalan penyelesaian yang sesuai bagi konflik kedua-dua negara berkenaan.

Malaysia turut menyifatkan keputusan Australia itu sebagai “terlalu awal” dan “memalukan rakyat Palestin.”

“Malaysia secara tegas mempercayai bahawa pengumuman ini, yang dibuat sebelum penyelesaian dua negara dilakukan, adalah terlalu awal dan memalukan rakyat Palestin serta perjuangan mereka untuk hak pentadbiran sendiri,” kata Wisma Putra dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, Malaysia juga akan terus bekerjasama rapat dengan semua negara rakan dalam usaha mencari penyelesaian adil, menyeluruh, dan berkekalan bagi konflik itu.

Sementara itu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut menegaskan bahawa Baitulmaqdis perlu terus kekal seperti sedia ada.

Bukan itu sahaja, malah ujar beliau, mana-mana negara lain tidak mempunyai hak untuk menentukan ia (Baitulmaqdis) harus menjadi ibu negara Israel mahupun dibahagikan.

“Australia juga mahu membahagikan Baitulmaqdis kepada Baitulmaqdis Barat sebagai ibu negara Israel dan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota Palestin…semua ini hanya akan meningkatkan kemarahan,” katanya selepas menerima ijazah doktor kehormat kepimpinan sosial, perniagaan dan politik daripada Universiti Rangsit, pada Ahad.

Ketika menghadiri Sidang Kemuncak Asean di Singapura pada bulan lepas, Dr. Mahathir turut meluahkan kebimbangannya terhadap Morrison, berhubung hasrat Australia yang mahu mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

“Kami perhatikan perkataan yang digunakan disusun dengan sangat teliti. Namun pada pandangan kebanyakan negara Arab, semua ini bukan sesuatu yang mereka boleh terima,” jelasnya.

Tambah Dr. Mahathir, Baitulmaqdis sentiasa berada di bawah Palestin dan mempersoalkan mengapa mereka mahu membahagikan kota suci itu.

“Mereka tidak berhak…ia bukan milik mereka,” ujar beliau.

Sumber: The Sun Daily – Bernama

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker