AntarabangsaIsu Semasa

Wanita Kemboja, Vietnam Dan Laos Dijual Menjadi Isteri Di China

Semua orang mendapat keuntungan menerusi perkahwinan Nary bersama seorang lelaki warga China, kecuali wanita Kemboja itu sendiri, yang pulang ke negaranya miskin selepas enam tahun di sana. Yang lebih menyakitkan hati, dia mungkin tidak akan melihat anaknya lagi.

Abangnya melarikan diri dengan US$ 3,000 (RM12,600) selepas memujuk gadis 17 tahun itu untuk meninggalkan Kemboja untuk berkahwin. Broker yang mengendalikan Nary pula membahagikan baki AS$ 7,000 (RM29,400) yang dibayar oleh suaminya berwarga China.

Tetapi perkahwinannya kepada seorang lelaki yang tidak dikenali, yang juga menggunakan bahasa yang tidak dapat difahami, telah ditakdirkan untuk tidak berkekalan daripada awal lagi.

“Ia bukan hari istimewa untuk saya,” kata Nary.

Dia adalah salah satu daripada puluhan ribu wanita muda Kemboja, Vietnam, Laos dan Myanmar – yang berkahwin dengan lelaki China setiap tahun.

Kemiskinan mendorong ramai wanita dari rantau Mekong untuk melangkah ke alam perkahwinan di China, dan diburukkan lagi dengan tahap pendidikan rendah dan harapan untuk menanggung ibu bapa mereka di kampung halaman.

Ramai juga berpindah ke China untuk bekerja tetapi akhirnya dipaksa berkahwin. Kes-kes terburuk melibatkan penculikan dan pemerdagangan manusia merentas sempadan.

Wanita-wanita ini terdedah kepada penderaan dan penahanan di bawah undang-undang imigresen Cina atau “dijual semula” ke dalam pelacuran.

Untuk membeli seorang isteri di China, kosnya adalah antara AS $ 10,000 (RM42,000) dan AS $ 15,000 (RM63,000), jumlah tersebut dibayar kepada broker yang memberikan beberapa ribu kepada rakan lain yang merekrut gadis untuk berkahwin.

“Mas kahwin” antara AS$ 1,000 (RM4,200) dan AS$ 3,000 ditawarkan kepada keluarga pengantin perempuan, manakala wanita itu sendiri merupakan yang terakhir menerima bayaran.

Perdagangan perkahwinan adalah perniagaan besar – angka rasmi mengatakan 10,000 wanita Kamboja sahaja didaftarkan di wilayah selatan Guangdong, Guizhou dan Yunnan.

Pengantin sering “disimpan” apabila tiba di China dan gambar mereka disiar di aplikasi WeChat kepada bakal suami.

Jika gadis itu lebih muda dan cantik, mereka lebih mahal.

Di Kemboja, broker dan pihak ketiga yang lain boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun jika ditangkap, lebih lama jika mangsa adalah di bawah umur.

Tetapi sabitan jarang berlaku, dengan broker membayar sehingga AS$ 5,000 (RM21,000) untuk mendiamkan mangsa.

“Mangsa memerlukan wang,” kata seorang pendakwa raya terkemuka.

China juga mempunyai undang-undang terhadap amalan itu, tetapi penguatkuasaan tidak kuat.

Perkahwinan Nary menjadi buruk hanya satu bulan selepas dia melahirkan bayi lelaki, ketika itu ibu mertuanya tiba-tiba mengarah untuk berhenti menyusu anaknya. “Dia tidak membenarkan saya melihat atau memegangnya,” kata Nary.

Keluarga itu kemudian memaksanya untuk bercerai, tetapi dengan visa yang telah tamat tempoh, Nary tahu bahawa jika dia meninggalkan rumah itu, kehadirannya di sana menyalahi undang-undang China.

Akhirnya dia berpindah dan mendapat sebuah kerja berpendapatan rendah untuk beberapa tahun di kilang kaca berhampiran.

Tetapi status imigresennya terdedah lalu ditahan di pusat tahanan selama setahun bersama ramai lagi wanita Vietnam dan Kemboja, semuanya mempunyai cerita yang sama.

Selepas pembebasan, ibunya mengadu kepada sebuah badan amal Kemboja yang membantu Nari untuk kembali ke Kemboja pada bulan Ogos tahun ini.

Sekarang dia bekerja di sebuah kilang pakaian, bebas daripada perkahwinan teruk, tetapi dipisahkan daripada  anaknya.

“Saya tahu saya tidak akan dapat melihatnya (anak) lagi,” katanya.

 

Sumber: AFP

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close