AntarabangsaIsu Semasa

Tapak Peluru Berpandu Korea Utara Masih Aktif?

Korea Utara dilaporkan telah mengembangkan lagi tapak peluru berpandu jarak jauh utamanya walaupun pemimpinnya, Kim Jong-un sudah bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dalam sidang kemuncak bersejarah pada bulan Jun lalu.

Sidang kemuncak yang berlangsung di Singapura itu menyaksikan kedua-dua pemimpin berkenaan menandatangani perjanjian untuk berusaha ke arah menamatkan program senjata nuklear Korea Utara dan mencapai keamanan di Semenanjung Korea.

Walau bagaimanapun, tiada maklumat terperinci yang didedahkan mengenai bagaimana matlamat tersebut akan direalisasikan.

Menurut CNN, Pyongyang telah menaiktaraf tapak peluru berpandu Yeongjeo-dong yang terletak di kawasan pergunungan pedalaman dan rejim itu turut membina sebuah fasiliti baru yang masih belum dikenal pasti.

Pakar menyatakan bahawa lokasi tapak senjata itu adalah amat sesuai untuk menempatkan peluru berpandu jarak jauh baru Korea Utara, termasuk peluru berpandu yang mampu membawa kepala peledak nuklear.

Dalam satu kenyataan, Pentagon berkata: “Kami memerhatikan Korea Utara secara rapat tetapi kami tidak boleh mengongsikan (hasil) risikan.”

Sementara itu, Trump pada awal bulan ini menyatakan bahawa beliau berharap untuk mengadakan sidang kemuncak kedua bersama Kim pada awal tahun 2019.

Penasihat Keselamatan Negara AS, John Bolton menjelaskan bahawa Trump merasakan pemimpin Korea Utara itu masih belum lagi melaksanakan komitmennya seperti yang dipersetujui ketika sidang kemuncak yang lalu.

AS juga menekankan agar Pyongyang melaksanakan denuklearisasi di Semenanjung Korea “secara penuh, sah, dan tidak boleh berpatah balik” sebelum menarik sekatan-sekatan berat yang dikenakan ke atas Korea Utara.

Namun begitu, Pyongyang dilaporkan menolak permintaan “unilateral” (satu pihak) AS dan mahu proses denuklearisasi ini dilakukan secara berperingkat.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button