AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Claudia Sheinbaum, Wanita Pertama Dilantik Sebagai Datuk Bandar Mexico City

Claudia Sheinbaum, wanita pertama dalam sejarah yang dilantik menjadi datuk bandar Mexico City telah mengangkat sumpah secara rasmi pada awal bulan ini, 6 Disember 2018.

Mexico City adalah salah satu bandar yang terbesar di dunia, dan Sheinbaum akan berkhidmat sebagai datuk bandar di sana selama satu penggal yang bersamaan dengan enam tahun.

Sheinbaum, 56, yang merupakan seorang saintis dan pencinta alam sekitar, telah meraih kemenangan dalam pilihan raya pada bulan Julai, sementara sekutu serta mentornya, Andres Manuel Lopez Obrador (AMLO) turut memenangi pemilihan itu dan dilantik menjadi Presiden Mexico.

Difahamkan, AMLO juga pernah memegang jawatan datuk bandar Mexico City sebelum ini.

Ketika menyampaikan ucapan sulung susulan pelantikannya, Sheinbaum telah mengulangi mesej anti-rasuah AMLO.

“Kita sedang memulakan era baru kejujuran dan menghapuskan keistimewaan-keistimewaan yang dinikmati oleh pegawai-pegawai kanan kerajaan sebelum ini.

“Perkara pertama yang perlu kita lakukan adalah menamatkan penyalahgunaan. Buat masa ini, kita sedang membina semula demokrasi dan kebebasan berpolitik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berikrar untuk menamatkan “penswastaan ruang-ruang awam” di bandar yang mempunyai populasi lebih daripada 8 juta penduduk itu.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), negara Mexico menyaksikan ketidaksamarataan jantina yang amat ketara, dan lebih daripada tujuh wanita dan perempuan dibunuh setiap hari.

Oleh yang demikian, menentang keganasan terhadap wanita turut menjadi salah satu perjuangan utama Sheinbaum.

Sebelum ini terdapat seorang wanita lain, Rosario Robles yang pernah berkhidmat sebagai datuk bandar Mexico City dari tahun 1999 sehingga 2000.

Rosario pada asalnya adalah timbalan datuk bandar di sana, namun beliau mengambil alih jawatan datuk bandar buat sementara waktu memandangkan penyandangnya pada ketika itu meletak jawatan untuk merebut jawatan presiden.

Sheinbaum adalah wanita pertama yang dilantik menerusi pilihan raya untuk memegang jawatan berkenaan secara rasmi dan penuh.

Sumber: AFP

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button