AntarabangsaIsu Semasa

Rusia Pengeluar Senjata Kedua Terbesar Di Dunia

Baru-baru ini, pusat pemikir Sweden, Stockholm International Peace Research Institut mendedahkan bahawa Rusia kini muncul sebagai pengeluar senjata kedua terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat (AS).

Difahamkan, Rusia berjaya melepasi Britain yang memegang kedudukan itu sejak tahun 2002 lagi dan kekal sebagai pengeluar senjata nombor satu Eropah Barat.

Dalam laporan “100 kumpulan senjata terbesar di dunia” tahunannya, institut tersebut menyatakan bahawa hasil jualan senjata keseluruhan syarikat-syarikat Rusia mencatatkan nilai AS$37.7 bilion (RM157.2 bilion) pada tahun 2017, iaitu peningkatan sebanyak 8.5% berbanding tahun sebelumnya.

Hasil jualan senjata Rusia juga menyumbang sebanyak 9.5% dalam jumlah keseluruhan jualan senjata di seluruh dunia, bernilai AS$398.2 bilion (RM1.66 trilion).

Dalam pada itu, laporan pusat pemikir berkenaan merangkumi jualan domestik dan asing bagi negara-negara di serata dunia, namun ia tidak memasukkan syarikat-syarikat senjata China kerana tidak mempunyai “statistik yang boleh dipercayai”.

Menurut Siemon Wezeman, seorang penyelidik kanan di institut itu, pengeluar senjata Rusia mula menyaksikan pertumbuhan yang signifikan sejak tahun 2011.

“Ini sejajar dengan peningkatan perbelanjaan senjata Rusia dalam usaha memodenkan angkatan tenteranya,” kata Wezeman.

Buat julung kalinya dalam sejarah laporan itu, sebuah syarikat senjata Rusia, Almaz-Antey yang dimiliki oleh kerajaan dan berpangkalan di Moscow, diletakkan dalam senarai 10 syarikat senjata utama di dunia.

Almaz-Antey dilaporkan mengeluarkan pelbagai senjata, termasuk sistem pertahanan udara canggih untuk negara berkenaan.

 

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker