Bisnes & Ekonomi

Hari Terbuka PUSH Telah Membuka Mata Tentang Apa Itu ‘Perniagaan Sosial’ Di Malaysia

Hari Terbuka PUSH yang dianjurkan oleh pihak Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) bersama myHarapan telah membuka mata dan minda orang ramai tentang kewujudan bantuan usahawan sosial sebegini.

Persepsi orang ramai tentang perniagaan sosial sering kali dibayangi oleh NGO yang membantu orang dalam kesusahan dan tidak boleh mendapat keuntungan.

Namun dengan kehadiran perniagaan sosial ini, ia mempunyai matlamat keuntungan bagi pihak yang memerlukan dan pada masa yang sama memberi keuntungan kepada pihak yang ingin membantu.

Nurfarini Daing , CEO myHarapan

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) myHarapan, Nurfarini Daing mereka telah mula mendedahkan perniagaan sosial ini dengan mengadakan pertandingan perniagaan sosial di peringkat universiti serta sekolah-sekolah.

Ramai Yang Masih Baru Mengenal Perniagaan Sosial

Mengakui ramai mahasiswa yang datang kepadanya dan berkata mereka tidak tahu terdapat konsep perniagaan seperti ini dan tidak pernah terlintas di fikiran mereka ia boleh menjadi sebuah kerjaya jangka masa panjang, ini membuatkan mereka lebih terdorong untuk memberi sokongan dan bimbingan bagi menjalankan perniagaan sosial di Malaysia.

“Kami masih rasa pengiktirafan perniagaan sosial masih perlu dilakukan kerana orang ramai masih berpendapat bahawa apabila kita melakukan perniagaan, ia hanyalah untuk mendapat keuntungan semata-mata tetapi sebetulnya ia perlu kedua-duanya (keuntungan dan membantu dari segi sosial),” jelas Nurfarini.

Keseimbangan antara keuntungan dan khidmat sosial ini perlu bagi sesuatu organisasi atau perniagaan melabur semula dalam perniagaan mereka dan mengekalkannya untuk jangka masa panjang.

Peluang Kepada Belia Dan Komuniti B40

Dengan kehadiran program PUSH yang mula dijalankan pada tahun lalu, tahun ini mereka memberi peluang kepada golongan belia dan komuniti B40 yang mahu mempelajari perniagaan dengan mengambil perniagaan mikrofrancais usahawan yang pernah mengikuti program ini (mereka juga dikenali sebagai usahawan berteraskan impak – Impact Driven Enterprise, IDE).

Pihak MaGIC dan MyHarapan pula akan memberi mereka mentorship dan pemantauan supaya mereka berjaya dan mencapai apa yang disasarkan.

Berbeza dengan program francais tradisional, PUSH menumpukan perhatian kepada perniagaan mikro seperti trak makanan, gerai penjaja kecil atau kedai pop-up bergerak yang memerlukan modal kurang daripada RM30,000 bagi memulakan operasi.

Perniagaan Yang Boleh Melibatkan Diri Dalam Mikrofrancais PUSH

Pada hari terbuka ini, terdapat sesi “Pitch Your Business” selama 3 minit bagi memberi ruang kepada perniagaan baharu untuk bersama dalam program PUSH.

Menurut Wan Dazriq, Pegurus Program (Ventures) MaGIC terdapat beberapa ciri asas untuk mengikuti mikrofrancais PUSH. Antaranya ialah:-

Wan Dazriq, Pegurus Program (Ventures) MaGIC

1. Perniagaan yang sudah beroperasi dalam 1-3 tahun kerana mereka sudah mempunyai kaedah perniagaan yang lebih stabil daripada yang baharu bermula.
2. Harus mempunyai modal perniagaan berimpak yang berpotensi untuk mengambil pekerja dari komuniti B40 dan memerlukan.
3. Perniagaan yang boleh direplikasikan untuk dijadikan mikrofrancais berimpak pada masa akan datang.
4. Sudah menjana pendapatan yang mampan serta mematuhi dasar pengambilan pekerja yang mengutamakan golongan terpinggir.

Selain itu, terdapat juga sesi temuduga untuk IDE baharu yang berpotensi dan “Marketplace” yang mempamerkan IDE sedia ada untuk berkongsi penyelesaian impak mereka pada hari tersebut.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker