Isu SemasaTempatan

Dua Suspek Militan Abu Sayyaf Dijatuhkan Hukuman Penjara

Dua suspek pengganas kumpulan militan Abu Sayyaf yang ditahan dalam satu operasi khas di Sabah pada bulan lepas (November) telah dijatuhkan hukuman penjara dan satu sebatan setiap seorang selepas disabitkan bersalah memasuki dan tinggal di negeri itu secara tidak sah.

Kedua-dua tertuduh adalah Abdul Abrera, 39, dan Majid Abu Bakar, 33. Mereka adalah antara 14 orang pendatang tanpa izin yang didakwa di Mahkamah Sesyen pada 5 Disember atas kesalahan berkaitan imigresen.

Memetik laporan The Star, Abdul Abrera mengaku bersalah menetap di Sabah sejak tahun 1995 sementara Majib pula mengaku melakukan kesalahan memasuki negeri itu secara tidak sah pada dua bulan lalu.

Berikut adalah hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Azreena Aziz ke atas kedua-dua tertuduh:

1. Abdul Abrera – penjara lima bulan dan satu sebatan

2. Majid – penjara empat bulan dan satu sebatan

Menurut sumber, dua orang suspek pengganas itu juga akan disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) selepas ini.

Difahamkan, mereka pada asalnya ditahan atas tuduhan melakukan kesalahan-kesalahan berkaitan imigresen sementara pihak penyiasat mengumpul bukti untuk mendakwa mereka di bawah Sosma.

Sumber berkata, Majid sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak, dan dia dipercayai menjadi salah seorang anggota Abu Sayyaf yang ditugaskan untuk memenggal kepala tebusan yang telah diculik oleh kumpulan tersebut.

“Abdul Abrera, sudah berkahwin dan mempunyai enam orang anak, dipercayai adalah salah seorang komander Abu Sayyaf,” tambah sumber itu.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button