AntarabangsaIsu Semasa

Australia Jual Senjata Kepada UAE Dan Arab Saudi Dalam Perang Yaman?

Kerajaan Australia dilaporkan telah meluluskan eksport senjata dan peralatan tentera untuk dihantar ke negara-negara Timur Tengah yang terlibat di dalam Perang Yaman.

Memetik laporan ABC News, dokumen-dokumen ‘rahsia’ berkenaan telah diperoleh menerusi Akta Kebebasan Maklumat (FOI).

Sejak tahun 2016, Canberra telah meluluskan sekurang-kurangnya 37 permit eksport untuk menghantar peralatan-peralatan tentera ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan 20 permit ke Arab Saudi.

Difahamkan, kedua-dua negara tersebut mengetuai gabungan untuk berjuang dalam peperangan menentang pemberontak Houthi di Yaman, yang merupakan negara termiskin di Timur Tengah.

Peperangan yang sudah berlanjutan selama 4 tahun ini telah mengorbankan puluhan ribu nyawa serta menyebabkan 85,000 kanak-kanak meninggal dunia akibat kebuluran.

Eksport Australia ke UAE dan Arab Saudi itu juga dikatakan mungkin berhubung kait dengan rancangan kerajaan yang diumumkan oleh bekas Perdana Menteri, Malcolm Turnbull pada bulan Januari, untuk meningkatkan hasil jualan peralatan pertahanan secara drastik menjelang 10 tahun akan datang.

Di bawah rancangan itu, Australia akan membelanjakan AS$200 juta di antara sekarang dan tahun 2028 dalam usaha menjadikan negara itu pengeksport senjata ke-10 terbesar di dunia.

Kini, Australia berada di tangga yang ke-20 terbesar. Bukan itu sahaja, malah strategi tersebut turut menyatakan secara jelas bahawa “Timur Tengah adalah ‘pasaran utama’ bagi eksport pertahanan.”

Walau bagaimanapun, kerajaan dikatakan cuba merahsiakan maklumat-maklumat mengenai eksport tersebut, namun ia berjaya didedahkan oleh seorang peguam South Wales dan aktivis hak asasi manusia, Kellie Tranter.

“Saya mempunyai seorang anak di bawah umur 5 tahun dan ia sukar untuk tidak rasa tersentuh dengan gambar-gambar yang datang dari Yaman.

“Saya rasa saya perlu tahu jika negara saya ada memainkan sebarang peranan dalam ‘kesengsaraan’ (Perang Yaman) itu,” kata Tranter.

Difahamkan, Tranter telah menemui peningkatan eksport ke Timur Tengah menerusi beberapa permintaan FOI.

Beliau berkata, permit-permit itu merupakan bukti bahawa kerajaan Australia sedang cuba untuk meningkatkan penjualan ke negara-negara yang terlibat dalam Perang Yaman.

“Kita sedang bercakap tentang jenayah peperangan, terlalu banyak bukti jenayah peperangan,” ujarnya.

Namun begitu, dokumen-dokumen berkenaan tidak menunjukkan nama-nama syarikat yang menerima permit, siapa pelanggan mereka, atau barang/peralatan yang mereka rancang untuk eksport.

“Anggota-anggota Pembangkang yang telah cuba untuk memperoleh maklumat ini daripada Kerajaan juga tidak dibenarkan untuk tahu,” jelas Tranter.

 

Sumber: ABC News

Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker