Isu SemasaPolitikTempatan

PH Semakin Hampir Dominasi 2/3 Kerusi Parlimen?

Gelombang ‘penghijrahan’ Ahli-Ahli Parlimen (MP) UMNO yang bertindak keluar daripada parti mereka dilihat berpotensi membuka jalan kepada Pakatan Harapan (PH) untuk meraih 2/3 kerusi di dalam Dewan Rakyat.

Sekiranya ia berlaku, ini sekali gus akan memberi kelebihan kepada PH untuk melaksanakan sebarang pembaharuan institusi.

Menurut pakar perlembagaan, Profesor Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman, terdapat kemungkinan PH akan mendominasi 2/3 kerusi Parlimen jika majoriti MP yang telah meninggalkan UMNO lompat parti atau menjadi “mesra Pakatan”.

Dr. Mohammad yang juga merupakan salah seorang anggota Jawatankuasa Reformasi Pilihan Raya berkata, jawatankuasa berkenaan pada asalnya pesimis bahawa PH akan dapat melaksanakan agenda-agenda pembaharuannya.

“Pindaan perlembagaan diperlukan dan ia hanya boleh dilakukan dengan mendapat 2/3 majoriti di Parlimen. Nampaknya kita semakin hampir untuk mencapainya,” katanya.

Ujar Dr. Mohammad, PKR mempunyai 50 kerusi, iaitu yang terbanyak di dalam Parlimen. Ini sekali gus menunjukkan bahawa mereka memiliki suara yang terbesar di dalam Pakatan.

“Namun, PKR masih sebahagian daripada gabungan Pakatan dan masih perlu merujuk rakan-rakan parti mereka (untuk membuat sebarang keputusan),” jelas beliau.

Dalam pada itu, Dr. Mohammad turut menyangkal pandangan bahawa tindakan ramai MP UMNO yang keluar parti hanya akan melemahkan lagi blok pembangkang di dalam Parlimen.

“Kita akan menyaksikan amalan politik yang lebih matang, di mana ahli parlimen daripada kerajaan pemerintah (jika berlaku lompat parti) juga akan menyuarakan bantahan terhadap isu-isu seperti yang berlaku dengan ICERD,” tambahnya.

Sementara itu, peguam, Syahredzan Johan menyatakan bahawa terdapat implikasi positif dan negatif berhubung isu lompat parti ini.

“Untuk pembaharuan perlembagaan, ini mungkin akan jadi satu perkembangan yang positif kerana ia bermakna kerajaan semakin hampir meraih 2/3 majoriti.

“Tetapi aspek lain adalah kekuatan pembangkang di dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara menjadi semakin lemah. Ini tidak berapa baik untuk demokrasi,” katanya.

Tambah Syahredzan, ia adalah lebih baik sekiranya MP pembangkang yang keluar parti mereka dilarang untuk berhijrah ke parti-parti di dalam kerajaan pemerintah.

“Mereka sepatutnya kekal sebagai calon bebas agar mereka boleh menyokong atau membantah Rang Undang-Undang serta isu mengikut kesesuaian pengundi-pengundi (di kawasan masing-masing),” jelasnya.

Penganalisis politik, Profesor Dr. Sivamurugan Pandian pula berkata, jumlah MP pembangkang di Parlimen mungkin akan berkurangan dalam minggu-minggu yang akan datang.

“Kita memerlukan semak dan imbang (check and balance) yang kukuh. Tetapi jika mereka semua memutuskan untuk menjadi mesra Pakatan, ia akan membolehkan parti pemerintah memiliki 2/3 majoriti, di mana ia penting untuk meminda atau membawa perubahan dalam isu-isu tertentu,” jelasnya.

 

Sumber: The Star

Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker