Isu SemasaTempatan

Konflik Marawi: Apa Berlaku Kepada Militan-Militan Yang Terlibat?

Oktober 23 2016 merupakan salah satu tarikh yang bermakna di Filipina apabila pasukan keselamatan negara itu berjaya menamatkan operasi ketenteraan di bandar Marawi, selepas lima bulan bertempur dengan beberapa kumpulan militan yang mempunyai kaitan dengan pengganas IS.

Namun, konflik tersebut telah memusnahkan bandar itu, mengorbankan lebih daripada 1,000 nyawa, dan menyebabkan lebih 300,000 penduduk terpaksa melarikan diri dari kediaman mereka.

Menurut Michael Hart, kolumnis The Diplomat menerusi penulisannya berjudul “A Year After Marawi, What’s Left of ISIS in the Philippines?”, terdapat empat buah kumpulan militan yang berjuang di dalam pertempuran Marawi iaitu:

1. Maute

2. Abu Sayyaf

3. Pejuang Kebebasan Islam Bangsamoro (BIFF)

4. Ansar Khalifah Philippines (AKP)

MAUTE

Kumpulan Maute dilaporkan menjadi dalang utama disebalik penaklukan bandar Marawi. Kebanyakan pejuang mereka telah maut ketika bertempur dan kumpulan itu juga mula berpecah memandangkan majoriti pemimpin kanannya – termasuk adik beradik, Abdullah dan Omar Maute – turut terbunuh.

Sejak Marawi dibebaskan, Maute menjadi kumpulan yang paling kurang aktif sehingga ke hari ini.

Walau bagaimanapun menurut sumber perisikan, serpihan-serpihan Maute kini bersembunyi di wilayah Lanao del Sur, dan sedang cuba merekrut pemuda-pemuda daripada komuniti miskin dalam usaha ‘menghidupkan’ semula kumpulan itu.

Kini, Maute juga dilaporkan hanya mempunyai kurang daripada 100 anggota, namun masih terdapat kemungkinan kumpulan ini akan membuat ‘come back’ di bawah kepimpinan ketua barunya, Abu Dar, yang dilabel oleh tentera sebagai ketua baru IS di Asia Tenggara.

ABU SAYYAF

Sama seperti Maute, kumpulan Abu Sayyaf juga mengalami kekalahan besar dalam pertempuran di Marawi, di mana ketuanya, Isnilon Hapilon telah terbunuh dan puak yang diketuai Hapilon juga dihapuskan.

Pasca-konflik Marawi, Abu Sayyaf dikatakan telah berundur ke pangkalan tradisional mereka di kepulauan Basilan, Sulu, dan Tawi-Tawi.

Selepas kematian Hapilon pula, puak-puak Abu Sayyaf yang masih ada diketuai oleh Furuji Indama di Basilan, dan Radullan Sahiron di Sulu.

Para pengikut Indama dipercayai masih menyokong IS, tetapi sebahagian besar kumpulan itu dilihat menjalankan ‘operasi’ lebih seperti penjenayah, dan tidak didorong oleh ideologi pengganas.

Kegiatan jenayah utama yang dijalankan oleh Abu Sayyaf adalah penculikan untuk meminta wang tebusan.

Namun begitu, masih terdapat juga segelintir pihak di dalam kumpulan militan itu yang masih berpegang teguh kepada ideologi berkaitan IS, dan mereka dilaporkan cuba melancarkan serangan keganasan berprofil tinggi.

Pada bulan Ogos lalu, Menteri Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana menganggarkan bahawa Abu Sayyaf mempunyai kurang daripada 150 anggota.

PEJUANG KEBEBASAN ISLAM BANGSAMORO (BIFF)

Walaupun Maute dan Abu Sayyaf mengalami kekalahan besar, Pejuang Kebebasan Islam Bangsamoro (BIFF) tidak mengalami nasib yang serupa seperti dua kumpulan terbabit.

Difahamkan, hanya segelintir anggota BIFF sahaja yang berjuang dalam pertempuran Marawi.

Sejak tahun lepas, BIFF merupakan kumpulan berkaitan IS yang paling aktif di Filipina, di mana mereka terlibat dalam beberapa siri pertempuran menentang pihak tentera di wilayah Maguindanao, Cotabato Utara, dan Sultan Kudarat.

Pertempuran-pertempuran tersebut juga sering kali menyaksikan serangan udara yang dilancarkan oleh Angkatan Tentera Filipina (AFP) dan insiden tembak-menembak yang berlanjutan selama beberapa hari.

BIFF juga dipercayai terbahagi kepada sekurang-kurangnya tiga puak dan diketuai oleh seorang pejuang berkaitan IS, Abu Toraife.

Walaupun tentera telah melancarkan pelbagai siri operasi ketenteraan, mereka masih belum berjaya untuk menghentikan “kempen keganasan” BIFF.

ANSAR KHALIFAH PHILIPPINES (AKP)

Yang terakhir sekali adalah Ansar Khalifah Philippines (AKP) – kumpulan terkecil yang menyertai penaklukan Marawi.

Selepas kekal ‘low profile’ pada tahun lepas, AKP dikatakan agak aktif membuat kebangkitan semula sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Tentera Filipina menyatakan bahawa serangan bom di bandar General Santos yang berlaku pada 16 September lalu, dilakukan oleh kumpulan itu.

Seramai tujuh orang awam mengalami kecederaan dalam serangan berkenaan.

Dalam pada itu, anggota-anggota AKP turut dilaporkan bertempur dengan tentera Filipina dari semasa ke semasa, di wilayah Sarangani dan Cotabato Selatan.

Walau bagaimanapun, keupayaan pertempuran, jumlah anggota, dan sumber mereka masih terhad berbanding kumpulan-kumpulan berkaitan IS yang lain.

Sumber: The Diplomat

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker