Sukan

Jordan Boy: Hero Malaysia di Gelanggang ONE Championship Tercipta

ONE Championship, perlawanan seni bela diri campuran (MMA) yang bertapak di Singapura ini telah bermula sejak 14 Julai 2011.

Pada tahun ini penutupan perlawanan ONE Championship diakhiri di Axiata Arena, Kuala Lumpur pada 7 Disember 2018.

“Jordan Boy” terkenal kerana sering menyebabkan lawan KO

Salah seorang peserta dari Malaysia yang menarik perhatian peminat sukan ini ialah Mohammed “Jordan Boy” Bin Mahmoud yang pertama kali memasuki gelanggang ONE Championship.

Sebelum memasuki gelanggang ONE Championsip, petinju muay thai berusia 22 tahun yang lahir di Alor Setar, Kedah dan membesar di Kuala Lumpur ini sering menewaskan lawannya menerusi kemenangan KO.

Akibat kemenangan KO itu Jordan Boy sering diberi julukan ‘Silent Killer’ tetapi lebih selesa menggunakan nama samaran ‘Jordan Boy’ sebagai tanda kasih dan pengiktirafan kepada ayahnya, Mahmoud Omar yang berasal dari Jordan, jelasnya kepada duniasukan.

Mengenal Muay Thai Melalui YouTube

Menerusi asiaone, Jordon Boy berkata dia mula berjinak dengan sukan Muay Thai enam tahun lalu dengan mula menonton Muay Thai di YouTube dan televisyen.

Setelah tamat sekolah menengah, dia meminta izin bapanya untuk memasuki gim dan ayahnya sangat menyokong hasratnya itu sehingga sanggup membawanya sendiri untuk mendaftarkan diri.

Namun apa yang mengejutkan bapanya ialah Mohammed mahu mendaftarkan diri ke Sampuri Muay Thai dan bukannya ke gim bina badan.

“Ayah saya memberi saya renungan tajam dan berkata saya hanya boleh melakukannya untuk dan bukan digunakan dalam gelanggang,” katanya.

Semasa di Sampuri Muay Thai, dua jurulatihnya Putera Sampuri dan Rania Sampuri sentiasa memberinya latihan berimpak tinggi dan mencabarnya dengan gandingan yang tidak calang-calang walaupun baru satu bulan berlatih.

Ayah Tidak Mengizinkannya Bertanding Di Gelanggang

Masuk bulan ke-6, jurulatih Mohammed sudah memintanya untuk mengikuti pertandingan tetapi mengingat pesanan ayahnya, Jordon Boy terpaksa menolak tawaran tersebut walaupun dia juga cuba nasib untuk bertanyakan kepada ayahnya tentang hasrat bertanding tersebut tetapi ditolak mentah-mentah.

Walau bagaimanapun, jurulatihnya tidak berputus asa dan berbincang dengan ayah Mohammed beberapa kali sehinggalah ayahnya berubah fikiran.

Dengan persetujuan ayahnya, Jordan Boy berlatih sehingga lima jam sehari sehingga sering tidur di gim tersebut.

Walaupun dengan rasa bersalah kerana telah melawan kata ayahnya sehingga tidak dapat tidur yang betul dan doktor menasihatinya untuk tidak mengikuti pertandingan, tetapi akhirnya semuanya berbaloi kerana berjaya menewaskan pihak lawan dengan tendangan di kepala pada pusing pertama.

“Saya sangat teruja sehingga melakukan tarian pelik dalam gelanggang,” Mohammed mengenang perlawanan pertamanya yang sempat mengalirkan air matanya apabila melihat ayahnya di luar gelanggang dan berterima kasih kerana mempercayai kebolehannya.

Berlari Keliling Rumah Setelah Dapat Tawaran Ke Arena ONE Championship

Semasa mendapat tawaran memasuki arena ONE Championship, Jordan Boy tidak percaya dengan rezekinya itu sehingga berlari keliling rumah apabila menerima mesej daripada Ann Osman, eksekutif ONE Championship.

Namun begitu, perlawanan pertama yang telah ditetapkan untuknya adalah bukan laluan yang mudah. Jordon Boy harus menewaskan seorang pemain veteran yang sudah beraksi dua kali sebelum ini di ONE Championship dan menang kedua-dua pertarungan.

“Bagaimanapun saya tidak mahu jadikan itu alasan. Memang kebanyakan lawan yang saya tumbangkan adalah dari Malaysia tetapi tidak bermakna saya kurang pengalaman menentang petinju luar. Bulan September yang lalu, saya berjaya tewaskan tiga petinju iaitu dari Thailand, Syria dan Australia.

“Saya percaya saya boleh menewaskan dia. Saya hanya mahukan kemenangan dalam penampilan pertama saya nanti” katanya yang menjuarai banyak kejuaraan tempatan dan antarabangsa seperti Kuda Merah dan Borneo Sabah.

Hero Malaysia di Gelanggang ONE Championship Tercipta 

Penampilan Jordan Boy di gelanggang ONE Championship pada 7 Disember lalu sememangnya sebuah aksi hebat apabila dia telah menunjukkan aksi KOnya sekali lagi dengan mengalahkan Stergos “Greek Dynamite” Mikkios dalam pusingan pertama.

Mikkios memulakan aksi dengan tendangan kaki dan Mohammed berjaya mengatasinya dengan baik lalu terus menerjah ke hadapan dengan serangannya tersendiri.

Akhirnya Jordan Boy menumpaskan lawannya dengan siku kanannya. Walaupun Greek Dynamite kembali bangkit, Jordan Boy meneruskan saingan dan menjatuhkan lawannya menggunakan tangan kanan sehingga Mikkios tidak dapat bangkit semula.

Stergos “Greek Dynamite” Mikkios tewas kepada Mohammed “Jordan Boy” Mahmoud pada pusingan pertama minit ke 2:20 sekaligus menjadi hero Malaysia pada malam tersebut.

 

Sumber Imej Terencana: Astroawani

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker