Isu SemasaTempatan

30,000 Kes Tuntutan Hak Selepas Bercerai Difailkan Setiap Tahun

Setiap tahun, terdapat kira-kira 30,000 kes membabitkan tuntutan hak selepas bercerai yang difailkan di Mahkamah Syariah Selangor.

Oleh yang demikian, Hakim Mahkamah Syariah, Nenney Shushaidah Shamsuddin, komited untuk ‘memburu’ lelaki-lelaki yang gagal melaksanakan kewajipan mereka.

Beliau berkata, isu-isu seperti nafkah perlu diselesaikan kerana (jika tidak) ia akan menjejaskan persepsi awam terhadap keadilan di Mahkamah Syariah.

“Sekiranya wanita Muslim membawa kes mereka ke mahkamah-mahkamah Syariah, mahkamah akan mengejar mereka (lelaki) yang mengabaikan tanggungjawab dan melanggar perintah mahkamah.

“Kita akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), majikan dan melakukan apa sahaja yang kami boleh untuk mengesan mereka yang tidak memenuhi kewajipan dan memberi wanita-wanita tersebut nafkah yang patut diterima,” kata Nenney dalam satu kenyataan pada bulan November lalu.

Sementara itu, beliau telah disenaraikan sebagai salah seorang wanita yang paling berpengaruh di dunia bagi tahun 2018 oleh BBC.

Jelas Nenney, pihak berkuasa juga kadang kala mengalami kesukaran untuk mencari mereka yang mempunyai pelbagai alamat tempat tinggal dan tidak memiliki pekerjaan tetap.

“Jika kita mahu mengeluarkan waran tangkapan, kita memerlukan alamat,” katanya.

Ujar beliau, situasi yang serupa juga berlaku dalam kes-kes hak penjagaan kanak-kanak, apabila salah seorang ibu bapa membawa lari anak-anak mereka sehingga menyebabkan polis terpaksa menyerbu semua alamat tempat kediaman, sementara pesalah pula terus berpindah dari satu tempat ke satu tempat lain.

Bukan itu sahaja, malah tambah Nenney, wanita-wanita Muslim turut mengalami kesukaran apabila mereka mahu memohon penceraian.

Tegasnya, kes-kes sedemikian perlu diselesaikan dengan segera kerana perbicaraan mahkamah yang panjang boleh mendatangkan kesulitan ke atas kedua-dua pihak.

Difahamkan, terdapat segelintir hakim yang dilihat sengaja menangguhkan pengisytiharan fasakh memandangkan “penceraian adalah perbuatan halal yang paling dibenci Allah.”

Justeru, Nenney menyatakan bahawa Mahkamah-mahkamah Syariah di Selangor menyediakan prosedur “Mempercepatkan Penceraian” dalam usaha memastikan pasangan suami isteri tidak perlu terus menderita dalam perkahwinan.

Dalam pada itu, beliau juga mencadangkan agar agar Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) perlu dipinda bagi membolehkan para hakim untuk mengenakan denda yang lebih berat ke atas lelaki-lelaki yang berkahwin lagi secara tidak sah.

“Mereka berkahwin di Thailand atau Batam, Indonesia dan kemudian datang untuk mendaftar perkahwinan mereka. Mereka ini mencari masalah.

“Undang-undang hanya membenarkan denda bernilai RM1,000 atau penjara sekiranya mereka berkahwin secara tidak sah. Ia adalah satu perkara yang ‘mudah’ untuk lelaki-lelaki berkenaan,” kata beliau.

Nenney menegaskan bahawa beliau akan menyukarkan mereka yang didapati menyalahgunakan agama semata-mata untuk memenuhi sikap berpoligami dan akan memastikan tindakan diambil ke atas mereka kerana melanggar undang-undang.

Namun beliau berkata, poligami dibenarkan sekiranya seseorang lelaki itu mampu menyara kesemua isterinya dan juga telah mendapatkan persetujuan daripada pihak perempuan.

 

 

Sumber: The Star

Show More

Related Articles

Back to top button