Isu SemasaTempatan

Pelajar Universiti Kini Diberi Kebebasan Berpolitik Di Kampus

Selepas hampir lima dekad, para pelajar universiti kini semakin hampir untuk mencapai kebebasan melibatkan diri dalam politik di kampus berikutan pindaan tiga akta berkaitan yang telah diluluskan di Dewan Rakyat pada Isnin malam.

Akta-akta tersebut adalah:

1. Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 

2. Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996

3. Akta Institusi-institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976

Pindaan terhadap kesemua akta berkenaan telah diluluskan sebulat suara selepas bacaan kali ketiga oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.

Difahamkan, pindaan ini bertujuan untuk menamatkan larangan ke atas pelajar-pelajar di institusi pengajian tinggi untuk terlibat dalam politik di kampus mereka.

Ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang AUKU (Pindaan) 2018, Maszlee menyatakan bahawa pindaan yang dilakukan ini adalah langkah awal untuk memansuhkan AUKU secara menyeluruh menjelang tahun 2020.

“Kalau kita lihat pada pindaan malam ini, walaupun hanya satu seksyen, tetapi ia amat signifikan kerana ia akan menghapuskan ‘siege mentality’ (mentaliti pengepungan) dan ‘culture of fear’ (budaya ketakutan) yang selama ini membelenggu mahasiswa.

“Pindaan pada malam ini akan memberi satu isyarat jelas kepada pelajar universiti bahawa mereka telah dilepaskan daripada rantai yang membelenggu mereka, kini kebebasan menjadi milik mereka,” ujar Maszlee.

Namun tegas beliau, kebebasan ini bagaimanapun datang dengan kebertanggungjawapan dan akauntabiliti, dan ia juga tidak bermakna mereka terus bebas daripada undang-undang.

“Di universiti mereka sendiri, ada undang-undang dan peraturan, dan mahasiswa juga terikat dengan undang-undang di luar universiti,” katanya.

Mengulas tentang kebimbangan segelintir Ahli Parlimen bahawa kebebasan berpolitik akan menjejaskan pencapaian akademik mahasiswa, Maszlee menyatakan bahawa beliau akan memastikan ekosistem yang holisitik dapat diwujudkan di universiti agar ia menjadi medan intelektual.

Sementara itu, kelulusan undang-undang baru ini juga memberi kebebasan kepada mahasiswa untuk menjalankan aktiviti parti politik, termasuk menjemput wakil politik ke dalam kampus dan menubuhkan kelab parti politik.

Walau bagaimanapun, ia masih memerlukan kebenaran daripada naib canselor masing-masing.

“Bagaimanapun saya yakin bagi naib canselor dan pentadbir universiti berdasarkan semangat Malaysia baharu…mereka akan pertimbangkannya dan tidak akan halang,” jelas beliau.

 

Sumber: The Sun Daily, Bernama

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker