Isu SemasaTempatan

PH Akan Menang PRU15 Jika Terus Kekal “Bersih”

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini menyatakan bahawa Pakatan Harapan (PH) boleh memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya ia kekal bersih dan bebas rasuah.

Dr. Mahathir yang juga Pengerusi PH berkata, semua komponen parti, terasuk sekutunya Parti Warisan Sabah (Warisan) telah dipilih oleh rakyat dalam PRU14 untuk menjadi kerajaan kerana pentadbiran ini menentang rasuah.

“Jangan terlibat dalam perkara-perkara terlarang, mengambil rasuah daripada sesiapa kerana ia tidak dibenarkan di bawah undang-undang negara.

“Jika kita terus kekal bersih dan dilihat sebagai pentadbiran yang tidak kotor dan dicemari dengan rasuah, kita akan terus kekal berkuasa.

ÔÇťApabila datang PRU-15 yang tidak dipimpin oleh saya, kita akan menang juga kerana kita bersih. Tapi kalau kita kotor, perasuah dan tidak kira sesiapa pun pemimpinnya, kita akan kalah,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Makan Malam Amal PH 2018 di PICC, pada Ahad.

Bercakap mengenai majlis makan malam amal berkenaan, Dr. Mahathir menjelaskan bahawa para penderma tidak diberi sebarang ‘keistimewaan’ dan tetap perlu bersaing secara adil dan terbuka bagi mendapatkan projek dari kerajaan.

“Bagi mereka yang menderma malam ini saya minta maaf, tiada keistimewaan bagi kamu, kalau nak apa-apa dari kerajaan kena bersaing dalam proses tender terbuka. Kalau tawaran dibuat oleh kamu baik mungkin kamu akan menang (tender).

“Sesiapa yang menawar rasuah, saya minta maaf untuk mengatakan bahawa anda perlu menghadapi undang-undang,” ujarnya.

Majlis tersebut berjaya mengumpul RM2.885 juta secara keseluruhan hasil daripada jualan meja (RM1.665 juta) dan pembidaan gambar pemimpin-pemimpin PH yang bernilai RM1.22 juta.

Sementara itu, Perdana Menteri Malaysia ke-7 tersebut turut meluahkan keyakinan bahawa prestasi ekonomi akan kembali pulih pada tahun depan, sekali gus membawa manfaat yang sewajarnya kepada rakyat.

Namun tambah Dr. Mahathir, rakyat masih belum lagi dapat menikmati hasil daripada usaha memulihkan ekonomi negara.

Oleh yang demikian, beliau menggesa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk membantu golongan miskin dengan apa sahaja wang yang dimiliki oleh kerajaan buat masa ini.

“Tiada peruntukan di dalam undang-undang untuk menghulurkan bantuan, kami (kerajaan) juga tiada wang yang banyak, tetapi dengan apa yang kita ada, kita akan bantu (mereka yang memerlukan) kerana kita tidak boleh tunggu sehingga proses pemulihan ekonomi berjaya,” jelasnya.

 

Sumber: The Sun Daily

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker