AntarabangsaIsu Semasa

Sukhoi Su-57 Rusia Akan Dilengkapi Peluru Berpandu Hipersonik

Jet pejuang halimunan generasi ke-5 Rusia, Sukhoi Su-57 akan dilengkapi dengan peluru berpandu hipersonik udara ke permukaan yang mempunyai “ciri-ciri” serupa dengan peluru berpandu balistik lancaran udara (ALBM), Kh-47M2 Kinzhal (“Dagger”) yang mampu membawa nuklear.

Kinzhal dilaporkan mempunyai jarak operasi lebih daripada 2,000 kilometer (km), dan mampu bergerak pada kelajuan Mach 10, bersamaan 12250.44 km sejam.

“Selaras dengan Program Senjata Rusia bagi tahun 2018-2027, jet pejuang Su-57 akan dilengkapi dengan peluru berpandu hipersonik.

“Jet-jet ini akan menerima peluru berpandu yang mempunyai ciri-ciri serupa dengan peluru berpandu Kinzhal, tetapi dengan ruang persenjataan dalaman dan saiz yang lebih kecil,” menurut sumber dari industri pesawat tentera negara, dalam satu kenyataan pada 6 Disember.

Walau bagaimanapun, sumber itu tidak memberi sebarang maklumat tambahan mengenai peluru berpandu berkenaan.

Berikutan saiz Kinzhal yang agak besar, ALBM hipersonik yang akan dipasang di ruang penyimpanan senjata dalaman Su-57 bersaiz lebih kecil.

Sementara itu, Kinzhal dikatakan sebagai varian kepada peluru berpandu balistik lancaran darat jarak dekat, Iskander-M. 

Anggaran jarak operasi Iskander adalah sejauh 500km dan ia mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga Mach 5.9 (7285.32 km sejam).

Kinzhal pula dilaporkan kini sedang dintegrasikan bersama pesawat pemintas MIG-31K, iaitu versi MIG-31BM yang telah dimodifikasi.

Dalam pada itu, Su-57 juga mungkin akan dilengkapi dengan peluru berpandu hipersonik udara ke udara, iaitu varian yang dinaiktaraf daripada peluru berpandu R-37 (K-37/RVV-BD), yang berupaya mencapai kelajuan maksimum Mach 6 atau 7408.8 km sejam, dan mempunyai jarak operasi melebihi 300 km.

Awal tahun ini, Menteri Pertahanan Rusia mengumumkan bahawa ia tidak mempunyai rancangan untuk mengeluarkan Su-57 secara besar-besaran.

Penganalisis juga berulang kali mempersoalkan sama ada Su-57 benar-benar mempunyai keupayaan jet pejuang generasi kelima dengan konfigurasinya yang sedia ada.

“Sebagai contoh, industri penerbangan tentera Rusia masih mengalami kesukaran (untuk menghasilkan) enjin generasi baru pesawat itu,” menurut Franz-Stefan Gady, di dalam penulisannya berjudul “Russia’s 5th Generation Stealth Fighter Jet to Be Armed With Hypersonic Missiles”

Difahamkan, Tentera Udara Rusia telah membuat tempahan untuk pra-pengeluaran 12 buah jet Su-57.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button