MalaysiaPolitik

ADUN Wanita Pertama di Terengganu

Pengarah Ameerah Terengganu, Zuraida Md Noor mencatat sejarah apabila dilantik sebagai Adun wanita pertama di negeri itu pada Persidangan Dun Ke-14, November lalu.

Pelantikan itu dibuat selaras Perkara 27, Fasal 2, Undang-Undang Tubuh Negeri Terengganu yang diluluskan ketika era pemerintahan Pas pada 1999 hingga 2004.

Yang Dipertua Dun, Yahaya Ali berkata, pelantikan Zuraida melakar sejarah Dun Terengganu kerana buat pertama kalinya, kaum hawa diberi penghormatan untuk menggalas peranan tersebut tanpa perlu melalui proses pilihan raya.

Sebelum itu, usul pelantikan Adun Wanita itu dicadangkan Exco Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Satiful Bahri Mamat yang kemudiannya diterima Dewan.

Zuraida, 38, yang melafazkan angkat sumpah sebagai Adun terharu terhadap pelantikannya itu yang menunjukkan kerajaan negeri mengiktiraf dan menyedari kepentingan peranan wanita untuk bersama-sama menyumbang idea untuk pembangunan negeri.

Menurutnya, tugas Adun wanita bukan sekadar membawa isu berkaitan wanita dan kekeluargaan sahaja tetapi juga berkhidmat kepada semua masyarakat.

“Adun wanita juga sebagai semak dan imbang (check and balance) kepada polisi kerajaan negeri, kerana kami mempunyai pandang sisi berbeza sebagai seorang ibu, anak, isteri dan sebagai rakyat ke atas sesuatu isu.

“Saya percaya wanita lebih dinamik dan holistik untuk membantu kerajaan negeri menyelesaikan isu rakyat. Dengan slogan ‘Adun wanita untuk semua’, insya-ALLAH saya akan cuba berbakti untuk rakyat Terengganu sebaiknya demi agama, bangsa dan negara,” katanya.

Zuraida yang juga ibu kepada tiga anak itu ialah pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dari Open University Malaysia dan pernah bertugas sebagai pensyarah di Akademi Caddam dari tahun 2002-2007.

Mula terlibat secara aktif dengan Pas pada tahun 2007, beliau kini memegang jawatan sebagai Setiausaha Dewan Muslimat Pas Kawasan Kuala Terengganu dan Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan Pas Negeri Terengganu.

Zuraida juga aktif dengan aktiviti kemasyarakatan antaranya pernah menyertai misi kemanusiaan di Kem Pelarian Rohingya Cox’s Bazar, Bangladesh; misi kemanusiaan di Kem Pelarian Rohingya di Acheh; misi dakwah di Sarawak dan misi korban dan aqiqah di Kemboja.

Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata dengan pelantikan itu, diharapkan Zuraida dapat mewakili suara wanita di Terengganu kerana negeri itu tidak pernah mempunyai wakil rakyat wanita ebelum ini, berbanding negeri lain.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker