Isu SemasaTempatan

Hampir 100 Rakyat Malaysia Terpedaya Dengan “Jihad Palsu” Militan IS

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti hampir 100 orang rakyat Malaysia yang berminat untuk pergi ke Syria dan selatan Filipina bagi menyertai misi jihad palsu dengan kumpulan militan IS.

Dalam satu kenyataan pada bulan lepas, Penolong Pengarah Counter Terrorism, Cawangan Khas (E8), Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, maklumat ini diperoleh selepas memantau kira-kira 4,000 halaman media sosial.

“Kami akan teruskan pemantauan ke atas mereka,” katanya.

Pengganas IS telah kehilangan kubu kuat mereka di Syria dan Iraq, manakala pihak berkuasa di Malaysia pula melaksanakan penguatkuasaan yang berterusan terhadap militan.

Walau bagaimanapun menurut Ayob, individu-individu terbabit masih lagi tertipu oleh pengrekrut-pengrekrut IS.

“Pengrekrut utama di Syria tidak lain tidak bukan adalah Akel Zainal, seorang rakyat Malaysia.

“Berikutan kematian Muhammad Wanndy Mohamed Jedi pada bulan April, Akel telah mengambil alih kedudukan ketua militan warga Malaysia bagi merekrut lebih ramai orang untuk (menyertai) perjuangan IS.

“Dia (Akel) menggunakan laman media sosial sebagai salah satu alat utama untuk mengrekrut (ahli baru),” jelas Ayob.

Tambah beliau, Akel telah pergi ke Syria pada 3 Januari 2014. Hasil risikan mendapati bahawa dia terlibat dengan aktif dalam pertempuran bersenjata dan operasi-operasi keganasan di Syria.

Difahamkan, lelaki berusia 38 tahun itu, di mana nama sebenarnya adalah Wan Mohd Aquil Wan Zainal Abidin, telah merekrut golongan muda warga Malaysia untuk berjuang bersama-samanya di Syria.

“Dia adalah seorang bekas ahli muzik dan mempunyai sekurang-kurangnya 15,000 pengikut di Facebook.

Salah seorang yang pertama direkrut oleh Akel adalah seorang pelajar wanita Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor pada Oktober 2014.

“Dia kemudian pergi ke Syria dan berkahwin dengannya (Akel),” kata Ayob.

Setakat ini, Bahagian Counter Terrorisme Bukit Aman telah mengenal pasti 54 rakyat Malaysia yang terdiri daripada 23 lelaki, 11 wanita, 12 kanak-kanak lelaki, dan 8 kanak-kanak perempuan masih berada di Syria.

“Sejak tahun 2013, kami mendapati 102 rakyat Malaysia telah pergi ke Syria.

“Sekurang-kurangnya 11 daripada mereka telah pulang ke tanah air sementara 37 lelaki terbunuh di Syria dan Iraq. Selebihnya masih ada di Syria bersama IS,” ujar beliau.

Sumber: The Star

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker