AntarabangsaIsu Semasa

Gara-Gara Mengeluarkan Kenyataan Rasis, Peluang Merebut Hadiah AS$1 Juta Pun ‘Melepas’

Baru-baru ini, seorang pemain profesional E-Sukan warga Filipina telah dilarang daripada menyertai pertandingan Dota 2 Chongqing Major di China pada Januari depan, selepas didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman yang mencetuskan kemarahan komuniti permainan video China.

Pemain tersebut dikenali sebagai Carlo “Kuku” Palad, yang bermain untuk kumpulan Filipina, TNC Predator.

“Walaupun terdapat kegelisahan berhubung kehadirannya (di pertandingan itu) dan masalah yang mungkin timbul, kami tidak rasa kehadirannya akan menimbulkan ancaman keselamatan yang sebenar.

“Namun, TNC dilihat tidak mengambil tanggungjawab terhadap tindakan mereka, tambah pula dengan cubaan pasukan itu untuk menutup perkara sebenar, jadi sekarang kami (perlu) masuk campur secara langsung dan melarang Kuku daripada menghadiri acara berkenaan,” kata penerbit Dota 2, Valve.

Pada Ahad lalu (2 Disember 2018), TNC menerusi laman Twitter menyatakan bahawa Kuku berdepan kemungkinan dilarang daripada memasuki China, sambil mendakwa bahawa pihak berkuasa bandar Chongqing mungkin akan membatalkan acara berkenaan jika pemain itu hadir di sana.

“TNC dan Kuku memahami implikasi kesalahan yang telah dilakukan, dan sebab itu kita telah cuba berbincang dengan semua pihak yang terlibat, terutamanya pihak yang terkesan,” kata pasukan itu sebelum larangan ke atas Kuku disahkan.

Walau bagaimanapun, sesetengah anggota terkemuka komuniti E-Sukan telah tampil mempertahankan Kuku, dengan menyatakan bahawa pemain itu telah pun meminta maaf dan layak diberi peluang kedua.

Beberapa penganalisis dan komentator (pengulas) turut mengancam untuk memboikot pertandingan itu, termasuk Grant “GranDGranT” Harris.

Beliau berkata di Twitter: “Jika Kuku tidak dibenarkan untuk bermain di major (acara itu), saya enggan menjadi komentator secara rasmi untuk major itu.

“Kita semua melakukan kesilapan dan satu kesilapan tidak sepatutnya melarang anda daripada bermain di pertandingan yang berpotensi menentukan seluruh kerjaya anda.”

Sementara itu, seorang pengacara dan komentator E-Sukan, Paul “Redeye” Chaloner menyambut baik langkah Valve yang mengambil tindakan terhadap Kuku.

“Saya rasa mereka (Valve) perlu melakukannya dengan lebih kerap dan lebih banyak menerajui E-Sukan,” katanya.

Dalam Dota 2 Chongqing Major yang akan datang ini, setiap pasukan akan bersaing bagi merangkul gelaran juara serta hadiah wang tunai bernilai AS$1 juta (RM4.1 juta).

 

Sumber: AFP

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker