AntarabangsaTeknologi

Syarikat Teknologi Bimbang Undang-Undang Baharu Australia Lemahkan Keselamatan Pengguna

Facebook dan syarikat teknologi lain mengeluarkan amaran bahawa privasi individu boleh terancam akibat undang-undang Australia baharu yang membenarkan agensi kerajaan untuk menuntut akses kepada perkhidmatan sistem pesanan sulit seperti iMessage dan WhatsApp.

Ahli Parlimen telah mengundi untuk memihak kepada Rang Undang-undang Akses dan Bantuan Telekomunikasi.

Kerajaan berpendapat langkah-langkah baharu akan membantu polis dan agensi keselamatan membanteras jenayah serius seperti serangan pengganas dan jenayah seks kanak-kanak.

Namun syarikat teknologi mengatakan bahawa perkara tersebut adalah berbahaya dan akan menjejaskan perniagaan dan pelanggan mereka di Australia.

Penyokong hak privasi pula mengatakan ia boleh membawa risiko kepada pengguna aplikasi pesanan ringkas, bahkan membuat syarikat berteknologi lebih berhati-hati apabila menjalankan perniagaan di Australia.

“Ia berisiko apabila kerajaan meletakkan kepentingan penyelidik jenayah atas keselamatan semua orang yang menggunakan internet dan telefon bimbit,” kata Daniel Weitzner, pengarah Inisiatif Penyelidikan Dasar Internet di MIT, kepada Australian Broadcasting Corporation (ABC).

Beliau berkata peraturan enkripsi yang bakal dilaksanakan boleh menghalang firma teknologi tinggi daripada beroperasi di Australia.

“Sekiranya syarikat yang melakukan perniagaan secara global tiba-tiba diberitahu oleh kerajaan Australia bahawa ia harus melemahkan keselamatannya, maka ia mungkin akan memikirkan dua kali sama ada ia berbaloi untuk terus berniaga di pasaran Australia,” kata Weitzner.

Penasihat keselamatan kebangsaan kerajaan Australia, Alastair MacGibbon, mengatakan bahawa undang-undang itu bertujuan untuk menguatkan lagi kuasa penyiasat.

“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini mereka telah… menjadi buta atau menjadi pekak kerana sistem pesanan sulit, dan penggunaan teknologi moden,” katanya dalam temu bual dengan ABC.

Agensi penguatkuasa undang-undang di Amerika Syarikat juga telah menyokong undang-undang untuk memaksa syarikat teknologi untuk berkongsi maklumat yang disulitkan daripada penyiasat.

Isu ini menjadi tumpuan pada awal 2016 selepas Apple enggan membantu FBI membuka iPhone pengganas atas sebab privasi dan keselamatan pengguna itu.

Sumber:CNN

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker