AntarabangsaIsu Semasa

Apa Yang Telah Dilakukan Oleh George HW Bush Ketika Menjadi Presiden AS Ke-41?

Minggu lepas, Presiden ke-41 Amerika Syarikat (AS), George HW Bush yang merupakan bapa kepada bekas presiden George W. Bush, telah meninggal dunia ketika berusia 94 tahun.

Jurucakap Bush, Jim Mcgrath, telah mengesahkan kematian beliau menerusi laman sosial Twitter pada Jumaat lepas, namun tidak menjelaskan bagaimana bekas presiden itu menghembuskan nafas terakhir.

Difahamkan, beliau hanya berkhidmat sebagai presiden AS untuk satu penggal sahaja (1989 – 1993), dan ditewaskan oleh Bill Clinton ketika bertanding di dalam pilihan raya untuk penggal ke dua.

Ramai pengundi pada waktu itu dilaporkan tidak menyokongnya kerana beliau memberi fokus yang terlalu banyak terhadap dasar asing berbanding isu-isu domestik.

Berikut adalah beberapa peristiwa penting yang berlaku ketika zaman pentadbiran beliau.

PERANG TELUK PERTAMA

Keputusan Bush untuk melancarkan Operation Desert Shield, yang juga dikenali sebagai Perang Teluk Pertama, merupakan peristiwa penting di dalam sejarah Timur Tengah.

Bimbang dengan kemungkinan bekas diktator Iraq, Saddam Hussein akan pergi ke Arab Saudi selepas menduduki Kuwait pada tahun 1990, Bush telah melancarkan tentera gabungan antarabangsa untuk menentang Saddam dan telah mengerahkan ramai tentera AS ke negara Arab itu.

Operasi tersebut dilancarkan pada 24 Februari 1991, berlangsung selama 100 jam, dan menyebabkan 148 tentera AS dan 20,000 tentera Iraq terkorban.

Apabila ditanya mengapa beliau tidak menakluk Iraq secara menyeluruh dan terus menyingkirkan Saddam, Bush berkata:

“Menakluki Iraq akan menghanjurkan gabungan kita, menyebabkan seluruh Dunia Arab menentang kita, dan kemudian menjadikan ‘pemimpin kejam’ sebagai sebagai ‘wira’ Arab.”

Walau bagaimanapun, AS telah menduduki Iraq 12 tahun selepas itu di bawah pentadbiran anaknya, George W. Bush, di mana Saddam turut dijatuhkan hukuman mati pada tahun 2006.

Namun, pendudukan AS di Iraq sebaliknya menyebabkan keadaan di negara itu menjadi lebih buruk.

ZON LARANGAN TERBANG

Pada tahun 1992, Bush mengetuai rancangan untuk memperkenalkan zon larangan terbang di utara dan selatan Iraq bagi melindungi puak Kurdish serta populasi Syiah.

AS, Britain, dan Perancis menggunakan Resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 688 sebagai alasan untuk menguatkuasakan zon larangan terbang itu, walaupun resolusi berkenaan tidak memberi kebenaran secara jelas untuk berbuat demikian.

KEHADIRAN TENTERA AS DI ARAB SAUDI

Keputusan Bush menghantar sejumlah besar kontinjen tentera AS ke Arab Saudi untuk Operation Desert Shield telah ‘membuka laluan’ kepada peristiwa-peristiwa susulan untuk berlaku.

Kehadiran tentera AS di negara itu telah mencetuskan kemarahan ramai warga tempatan, termasuk Osama bin Laden, dan ini dipercayai menjadi salah satu punca utama yang mendorong serangan 11 September 2001 (tragedi 9/11) ke atas Amerika.

Namun begitu, AS masih mengekalkan tentera mereka di Arab Saudi sehingga tahun 2003.

MEMBANTAH PENEMPATAN ISRAEL DI GAZA DAN TEBING BARAT

Zaman pemerintahan Bush, dengan bantuan Setiausaha Negara pada waktu itu, James Baker, merupakan satu-satunya pentadbiran kerajaan AS yang menentang penempatan Israel di Gaza dan Tebing Barat.

Selepas Perang Dingin berakhir, Israel telah meminta pinjaman daripada AS untuk membina penempatan bagi pelarian-pelarian Yahudi yang datang dari Kesatuan Soviet.

Namun pada tahun 1991, Bush telah menyekat jaminan penjaman untuk pembinaan penempatan sehingga Israel bersetuju untuk tidak menempatkan pelarian Yahudi di Gaza dan Tebing Barat.

Mendiang pemimpin Rumah Putih itu juga mempunyai hubungan yang tidak berapa baik dengan bekas Perdana Menteri Israel, Yitzhak Shamir.

Yitzhak dilaporkan menentang semua konsensi untuk sebarang proses damai dan terus berjuang bagi mendapatkan pinjaman tersebut.

Walau bagaimanapun, bantahan/tentangan Bush terhadap penempatan Israel itu tidak kekal lama, dan beliau adalah penyokong Israel dalam pelbagai perkara lain.

MEMBANTU ISRAEL SECARA DIPLOMATIK

Semasa menjadi presiden, Bush telah berjaya melobi PBB untuk membatalkan Resolusi PBB 1975 yang menyamakan Zionisme dengan rasisme dan diskriminasi perkauman.

Beliau dikatakan mengambil kesempatan terhadap keadaan pasca Perang Teluk Pertama untuk mengadakan Persidangan Madrid, di mana Israel dan musuh-musuh Arabnya berkumpul bagi membincangkan proses damai buat pertama kali.

Bukan itu sahaja, malah Bush juga menggalakkan China dan Rusia untuk menjalinkan hubungan dengan Israel dan membantu membuka jalan bagi hubungan-hubungan diplomatik lain.

Sumber: Middle East Eye

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker