AntarabangsaIsu Semasa

Duterte Ambil ‘Daun Hijau’ Untuk Kekal Segar?

Baru-baru ini, Presiden Filipina, Rodrigo Duterte mengeluarkan kenyataan berkontroversi apabila berkata bahawa beliau mengambil ganja untuk “kekal segar” dan tidak mengantuk semasa sidang kemuncak serantau yang diadakan di Singapura pada bulan lepas.

“Ia adalah aktiviti yang ‘membunuh’…..Saya mengambil ganja (marijuana) untuk kekal segar. Ia (ganja) tidak berkesan dengan orang lain,” katanya.

Difahamkan, kesan pengambilan ganja mungkin berbeza pada setiap orang. Menurut sumber maklumat perubatan atas talian, WebMD, ganja dipercayai digunakan untuk melegakan kesakitan dan membantu menenangkan penggunanya.

Ia juga boleh meningkatkan deria seseorang individu itu, dan melegakan rasa loya atau perasaan mahu muntah selepas rawatan kemoterapi.

Lebih mengeruhkan lagi keadaan, pemilikan dan pengambilan ganja adalah satu kesalahan di bawah undang-undang Filipina, dan Duterte sendiri melaksanakan kempen perang dadah secara besar-besaran yang telah meragut nyawa hampir 5,000 orang suspek sejak tahun 2016.

Namun begitu, presiden tersebut kemudian mengakui bahawa beliau hanya “bergurau”, tetapi gurauan itu telah mengundang kritikan pelbagai pihak memandangkan ia boleh mencetuskan kemarahan dan kesedihan dalam kalangan ahli keluarga serta saudara mara mangsa-mangsa yang telah dibunuh dalam kempen anti-dadahnya yang brutal.

“Sudah tentu ia adalah satu jenaka. Jenaka seperti itu adalah sebahagian daripada ‘gaya’ saya,” katanya.

Dalam usaha membuktikan beliau benar-benar bergurau, seorang senator dari blok pembangkang, Antonio Trillanes pada hari ini telah mencabar Duterte untuk mengambil ujian air kencing sekali gus menjamin bahawa dirinya bebas dadah.

“Sekarang, jika beliau benar-benar mahu membersihkan imejnya, saya sekali lagi meminta beliau untuk mengambil ujian air kencing,” tegas Trillanes.

Membalas gesaan Trillanes, jurucakap Duterte, Salvador Panelo berkata, Presiden itu tidak akan “menyahut cabaran” tersebut dan sebaliknya menyatakan bahawa senator tersebut yang sepatutnya perlu mengambil ujian air kencing.

TIDAK PUAS HATI DENGAN SISTEM SIDANG KEMUNCAK ASEAN

Sementara itu, Duterte turut meluahkan perasaan tidak puas hatinya terhadap jadual beliau ketika menghadiri sidang kemuncak ASEAN, yang diadakan setiap tahun di sesebuah negara Asia Tenggara.

Dalam sidang kemuncak baru-baru ini yang diadakan di Singapura, beliau gagal menghadiri 5 acara utama kerana mahu ‘berehat’.

Duterte berpandangan bahawa mesyuarat pemimpin-pemimpin ASEAN sepatutnya perlu dilaksanakan hanya jika terdapat urusan-urusan yang penting atau kecemasan sahaja.

Beliau berkata, perkara-perkara lain harus diberi kepada pegawai-pegawai bawahan untuk diselesaikan.

“Anda perlu memberinya (urusan lain) kepada TWG (pasukan kerja teknikal) atau sekurang-kurangnya kepada (pegawai) bawahan…..Kita (pemimpin) hanya mengambil urusan paling penting…hanya urusan kecemasan atau memerlukan perhatian segera ASEAN,” ujarnya.

Sumber: Reuters, Rappler

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker