Isu SemasaTempatan

Apa Akan Berlaku Jika Malaysia Meratifikasikan ICERD?

ICERD merupakan satu isu yang hangat diperkatakan dan diperdebatkan oleh rata-rata rakyat Malaysia sejak kebelakangan ini.

Sesetengah pihak menyokong perjanjian antarabangsa ini, namun majoriti rakyat membantahnya kerana melihat ia berpotensi menjejaskan hak-hak bumiputera serta kedudukan Raja-Raja Melayu yang telah termaktub di dalam Perlembagaan negara.

Bantahan yang meluas ini sekali gus membatalkan hasrat kerajaan untuk meratifikasikan ICERD.

Walau bagaimanapun, mari kita lihat beberapa fakta penting mengenai konvensyen ini yang mungkin masih ramai tidak tahu.

APA ITU ICERD?

Convention For Elimination of All Forms of Racial Discrimination atau Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), adalah salah satu daripada konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung Hak Asasi Manusia.

Ia bertujuan untuk menghalang dan memusnahkan sebarang bentuk diskriminasi kaum, menjamin hak setiap orang tanpa mengira latar belakang kaum atau warna kulit, serta mendapatkan kesaksamaan di sisi undang-undang.

MENGAPA KERAJAAN MALAYSIA MAHU MERATIFIKASIKAN ICERD?

Malaysia merupakan salah satu negara anggota PBB. Oleh yang demikian, Malaysia digalakkan untuk melaksanakan ratifikasi penuh semua perjanjian hak asasi manusia, dan berusaha ke arah membangunkan sebuah negara berdasarkan prinsip kesamarataan, penghormatan, dan penerimaan semua rakyat di dalam negara.

Setakat ini, Malaysia hanya telah meratifikasikan tiga konvensyen iaitu:

– Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita

– Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak

– Konvensyen Mengenai Hak Orang Kurang Upaya (OKU)

APA AKAN BERLAKU SEKIRANYA ICERD DIRATIFIKASIKAN?

Sekiranya Malaysia meratifikasikan ICERD, perkara-perkara tersebut akan dilaksanakan:

1. Pindaan atau semakan sistematik ke atas undang-undang sedia ada, peraturan, dan dasar yang mempunyai diskriminasi kaum

2. Menjadikan tindakan mendiskriminasi dan keganasan kaum sebagai satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah undang-undang 

3. Jaminan undang-undang dan penguatkuasaan prosedur menentang diskriminasi berkaitan dengan hak-hak politik, pekerjaan, perumahan, pendidikan dan kemudahan awam 

4. Melaksanakan program-program pendidikan bagi mempromosikan hubungan yang baik serta toleransi di antara kaum dan kumpulan etnik

5. Menubuhkan institusi dan agensi khusus bagi menangani masalah-masalah diskriminasi kaum dan untuk melindungi kepentingan orang asli

MENGAPA RAMAI ORANG BIMBANG DAN BANTAH ICERD?

Perjanjian antarabangsa ini dikatakan melanggar Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, dan pelaksanaan ICERD bermakna bahawa ia perlu dipinda.

Selain itu, rata-rata masyarakat, khususnya dari kalangan orang Melayu dan Bumiputera, bimbang jika ICERD akan menyebabkan berlakunya perkara-perkara tersebut termasuk:

– MARA akan ditutup

– MRSM akan ditutup

– UiTM akan ditutup

– Tanah rizab Melayu akan dimansuhkan

– Rejimen Askar Melayu DiRaja akan dianggap sebagai diskriminasi perkauman

– Tiada lagi biasiswa untuk Bumiputera

– Tiada lagi diskaun Bumiputera untuk perumahan

– Kriteria Bumiputera di dalam tender dan lesen perniagaan akan dimansuhkan

– Malaysia akan kehilangan kedaulatan

– Agama Islam akan terancam

APA YANG TERKANDUNG DI BAWAH PERKARA 153?

Perkara 153 memberi tanggungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menjaga kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak, khususnya dalam:

1. Pekerjaan di dalam perkhidmatan awam

2. Biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya atau kemudahan khas lain yang diberikan atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan

3. Permit atau lesen pertukangan atau perniagaan.

ADAKAH HAK KEISTIMEWAAN MELAYU AKAN TERANCAM OLEH ICERD?

Hak keistimewaan Melayu dilaporkan tidak akan terancam. Malah, pelbagai negara di dunia telah meratifikasikan atau bersetuju dengan dasar tindakan afirmatif di bawah ICERD untuk melindungi hak-hak kumpulan terpinggir dan orang asli.

Tindakan afirmatif merujuk kepada dasar-dasar yang dikhususkan kepada kumpulan atau golongan yang bukan dominan dalam sosio-ekonomi demi meningkatkan pencapaian mereka dalam pendidikan serta pekerjaan.

BAGAIMANA PULA DENGAN AGAMA ISLAM?

Agama Islam juga dikatakan tidak akan terancam dengan pelaksanaan ICERD. “State Parties” atau negara-negara yang telah meratifikasi konvensyen-konvensyen antarabangsa seperti ini dibenarkan untuk menetapkan had sendiri.

Sebagai contoh, Arab Saudi pernah menyatakan bahawa mereka tidak akan melaksanakan peruntukan-peruntukan ICERD yang bercanggah dengan Syariah Islam.

RAMAI ORANG AWAM TIDAK DAPAT AKSES TERHADAP DOKUMEN ICERD

Walaupun kerajaan sebelum ini berhasrat untuk meratifikasikan ICERD, majoriti rakyat khususnya penduduk luar bandar yang berbahasa Melayu tidak didedahkan dengan maklumat terperinci mengenai konvensyen itu memandangkan dokumen yang sedia ada hanya disediakan dalam Bahasa Inggeris.

Menurut Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, dokumen berkenaan hanya dapat diakses oleh sekumpulan kecil penduduk bandar berbahasa Inggeris dari kelas pertengahan.

Beliau berkata, memandangkan rakyat Malaysia tidak dikenali dengan tabiat membaca, tidak ramai individu dari kalangan kumpulan yang bertutur dalam Bahasa Inggeris yang benar-benar telah membaca dokumen penuh ICERD.

Golongan ‘minoriti’ yang berpeluang membaca dokumen konvensyen itu termasuk peguam, golongan profesional, aktivis serta pemimpin Badan Bukan Kerajaan (NGO).

“Tiada dokumen ICERD yang diterjemahkan dalam Bahasa Melayu setakat ini. Ini adalah perkara penting yang tidak pernah diketengahkan,” kata beliau.

Ujar Dr. Shamsul, pelaksanaan program “literasi ICERD” dalam Bahasa Melayu di seluruh negara juga tidak pernah difikirkan oleh pihak-pihak yang berkenaan, termasuk kumpulan pro-ICERD seperti peguam, aktivis sosial, dan pemimpin-pemimpin NGO.

Bukan itu sahaja, malah perundingan awam juga tidak pernah dianjurkan bagi mendapatkan maklum balas daripada orang awam.

Namun, maklum balas/pandangan yang diterima hanya dari penduduk bandar yang bertutur dalam Bahasa Inggeris di sekitar Lembah Klang.

Sementara itu, beliau turut menyatakan bahawa kumpulan aktivis anti-ICERD juga tidak menyedari bahawa majoriti populasi Melayu di kawasan bandar, separa bandar, atau luar bandar, tidak boleh membaca dokumen ICERD tersebut.

“Jika terdapat versi Bahasa Melayu sekali pun, tidak ramai akan berminat untuk membacanya. Justeru, program ‘literasi ICERD’ di seluruh negara diperlukan,” jelas Dr. Shamsul.

*Artikel dikemaskini*
Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker