AntarabangsaIsu Semasa

Pertemuan Kedua Trump Dan Kim Pada Awal Tahun Depan?

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Sabtu lalu (1 Disember 2018) menyatakan bahawa beliau mungkin akan mengadakan pertemuan kedua bersama pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un pada awal tahun 2019, sekitar bulan Januari atau Februari.

“Kami menjalinkan hubungan yang baik,” kata Trump sambil menambah bahawa pada satu masa nanti, beliau akan mempelawa Kim datang ke AS.

Sejak pelantikan Trump sebagai presiden Rumah Putih pada tahun 2016, beliau dan Kim kerap ‘berperang mulut’ di antara satu sama lain.

Ketegangan di antara Washington dan Pyongyang itu ternyata membimbangkan seluruh dunia kerana sekiranya keadaan tidak terkawal, perang nuklear berpotensi untuk meletus.

Namun pada bulan Jun lalu, Trump dan Kim telah mengadakan pertemuan bersejarah di Singapura, dan ia telah membuahkan hasil yang baik apabila kedua-dua negara itu bersetuju untuk bekerjasama mencari jalan penyelesaian yang terbaik bagi mencapai keamanan.

Dalam satu kenyataan Rumah Putih selepas pertemuan Trump dan Presiden China, Xi Jinping pada Sabtu lalu,¬† mereka dan Kim akan berusaha untuk merealisasikan “Semenanjung Korea yang bebas nuklear.”

Ujar kenyataan itu lagi, Xi dan Trump sama-sama bersetuju bahawa “isu berkaitan Korea Utara menyaksikan perkembangan yang amat baik.”

Sementara itu, Naib Presiden AS, Mike Pence pada bulan lepas berkata, Trump akan meminta Pyongyang untuk menggariskan pelan yang kukuh dalam usaha menamatkan program-program senjata mereka.

Menurut Pence, AS tidak akan meminta Korea Utara untuk menyediakan senarai penuh senjata serta lokasi-lokasi tapak nuklear mereka sebelum persidangan kedua.

“Saya rasa ia amat penting dalam sidang kemuncak kedua ini untuk kita mempunyai rancangan bagi mengenal pasti semua senjata yang dipersoalkan, mengenal pasti semua tapak pembangunan (nuklear), membolehkan pemeriksaan dilakukan di tapak-tapak itu, dan pelan untuk menghapuskan senjata nuklear,” jelas beliau.

Tambahnya lagi, ia juga penting untuk mengekalkan tekanan dan sekatan antarabangsa  ke atas Korea Utara sehingga denuklearisasi dilakukan dengan sepenuhnya.

Namun, perkara itu menyebabkan Pyongyang berang sambil memberi amaran bahawa ia boleh menyambung semula pembangunan program nuklearnya jika AS tidak mengurangkan sekatan.

Pada bulan lepas, sebuah pusat pemikir di AS mendedahkan bahawa ia telah mengenal pasti sekurang-kurangnya 13 daripada 20 tapak peluru berpandu aktif yang tidak diisytiharkan di Korea Utara.

Sumber: Reuters

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker