Isu SemasaTempatan

Pelajar Sekolah Rendah Jadi ‘Sasaran’ Terbaru Pengedar Dadah

Dadah ternyata adalah musuh nombor satu negara memandangkan ‘najis’ ini boleh memusnahkan kehidupan sesiapa sahaja dalam sekelip mata.

Lebih membimbangkan lagi, Pengarah Agensi Anti-Dadah Kelantan (AADK), Rohayu Ahmad baru-baru ini mendedahkan bahawa kanak-kanak yang masih bersekolah rendah kini menjadi ‘sasaran’ terbaru pengedar-pengedar dadah di negeri itu.

Rohayu berkata, trend yang membimbangkan ini bermula pada tahun 2015 dan terdapat peningkatan dari segi jumlah kanak-kanak yang diperdayakan dan kemudian menjadi penagih dadah.

“Sebelum ini, hanya pelajar sekolah menengah sahaja yang tertarik (dengan ajakan pengedar dadah), tetapi sejak tiga tahun lalu, kami melihat pelajar berumur 9 tahun sudah mula untuk mengambil dadah,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Walau bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan angka sebenar para pelajar sekolah rendah yang mengambil atau menjadi penagih dadah, namun Rohayu menasihatkan individu-individu terbabit untuk mendapatkan rawatan di  Pusat Khidmat Cure and Care yang terletak di Pengkalan Chepa.

Jelas beliau, antara faktor utama yang menyebabkan kanak-kanak sekolah rendah untuk terlibat dengan pengambilan dadah adalah:

1. Kurang maklumat berkaitan dadah

2. Keinginan untuk mencuba

3. Tidak mengetahui kesan pengambilan dadah 

Menurut Rohayu, terdapat 8,115 penagih dadah di seluruh Kelantan, dan ini sekali gus menjadikannya negeri kedua yang mempunyai jumlah penagih tertinggi selepas Kedah.

Daripada jumlah itu pula, 111 orang adalah penagih wanita, di mana kebanyakan daripada mereka terjebak akibat dipengaruhi oleh suami, teman lelaki, atau anggota keluarga yang juga merupakan penagih dadah.

Sementara itu, beliau mengatakan bahawa lokasi Kelantan yang berdekatan dengan sempadan Thailand turut mempengaruhi trend penagihan dadah di negeri tersebut.

Sumber: The Sun Daily

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker