AntarabangsaIsu Semasa

Pitch Black: Hornet TUDM ‘Menyengat’ Di Australia

Baru-baru ini, lima buah jet pejuang F/A-18D Hornet daripada “The Mighty Hornets” milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berpangkalan di Butterworth Pulau Pinang, telah diterbangkan ke Darwin, Australia, bagi mengambil bahagian dalam latihan udara multi-nasional besar-besaran bergelar “Pitch Black”,  anjuran Royal Australian Air Force (RAAF).

Kelima-lima jet tempur tersebut terbang ke Australia diiringi pesawat pengangkut terbaru TUDM, iaitu Airbus A400M Atlas daripada 22 Skuadron, yang berpangkalan di Subang.

Difahamkan, Pitch Black adalah latihan dwitahunan (dua kali setahun) yang bertujuan untuk mengasah dan meningkatkan kemahiran kru-kru udara dalam pertempuran udara.

Kemahiran-kemahiran ini merangkumi:

1. Melancarkan serangan tepat

2. Offensive Counter-Air (OCA) – operasi serangan untuk memusnahkan, mengganggu, atau meneutralkan pesawat, peluru berpandu, landasan berlepas, dan infrastruktur pihak musuh.

3. Defensive Counter-Air (DCA) – semua langkah pertahanan untuk mengesan, mengenal pasti, memintas, dan memusnahkan pasukan musuh yang cuba menyerang atau menceroboh ruang udara.

4. Air combat manoeuvring (ACM) – Gerakan tempur udara

5. Close air support – Bantuan rapat udara 

Dalam persekitaran yang mencabar pada abad ke-21 ini, negara-negara di dunia tidak mampu lagi untuk berperang secara unilateral (secara berseorangan/satu pihak).

Oleh yang demikian, Pitch Black turut melatih kru-kru udara dari pelbagai negara untuk bersatu padu serta meningkatkan kerjasama dari aspek perkongsian sistem dan peralatan di antara satu sama lain.

Latihan yang berlangsung selama tiga minggu itu juga mempunyai jadual yang amat padat.

TUDM  menghantar unit yang terdiri daripada 40 pegawai dan 78 anggota biasa untuk menyertai latihan ini, di mana pasukan itu diketuai oleh ketua “The Mighty Hornets”, Kolonel Koey Tang Chai yang diberi gelaran “Mickey”. 

Sementara itu, tahun ini merupakan penglibatan kali kedua TUDM di dalam latihan Pitch Black, di mana penyertaan kali pertama adalah 10 tahun dahulu (2008).

Menurut Lt Col Abdul Rahim Jusoh (nama kod ‘Blade’), iaitu salah seorang juruterbang jet pejuang TUDM yang terlibat dalam latihan berkenaan, para peserta dibahagikan kepada Pasukan Biru (Blue Force) dan Pasukan Merah (Red Force) untuk sesi latihan yang dikenali sebagai large-force-employment.

Kemudian, senario serangan pula dihasilkan dari dua pangkalan RAAF – RAAF Darwin dan RAAF Tindal.

“Pelbagai senario ancaman dihasilkan dan para peserta pula diberi tugas masing-masing. Sebagai contoh, Pasukan Merah mungkin ditugaskan untuk menyerang nod arahan, kawalan, dan komunikasi (C3).

“Tugas Pasukan Biru, sebagai contoh, adalah untuk menentang serangan defensive counter-air bagi meneutralkan ancaman,” kata Blade.

Dalam Pitch Black pada tahun ini, TUDM telah diberi peluang memikul tugas kedua-dua Pasukan Biru dan Merah.

Ini juga merupakan waktu yang paling tepat untuk menguji keupayaan pesawat tempur Hornet yang telah dinaiktaraf kepada “25X Standard.”

Pesawat-pesawat ini juga kini dilengkapi dengan pelbagai peralatan canggih termasuk:

– Joint Helmet Mounted Cueing System (JHMCS)

– Peluru berpandu udara ke udara AIM-9X Sidewinder

– Kit GPS untuk “bom pintar” Joint Direct Attack Munitions (JDAM) GBU-31, -32, -38, dan -54 

– Advanced Targeting Forward Looking Infrared (ATFLIR)

Selain itu, Pitch Black edisi tahun 2018 ini juga menyaksikan penglibatan kira-kira 140 pesawat daripada semua jenis, dan sekitar 4,000 kakitangan dari 15 buah negara seluruh dunia.

Selain daripada Malaysia, antara pasukan tentera udara serantau yang turut mengambil bahagian adalah:

1. Singapura – menggunakan jet pejuang Lockheed Martin F-16C/D Block 52 dan Boeing F-15 SG

2. Thailand – jet pejuang Saab JAS-39C Gripen

3. Indonesia – jet pejuang F-16 A/B

Bukan itu sahaja, malah lebih menarik lagi, Pitch Black 2018 juga buat julung kali menyaksikan penyertaan Tentera Udara India, di mana negara itu menampilkan jet pejuang Sukhoi Su-30 MKI miliknya.

“Pitch Black adalah bantuan latihan yang tidak ternilai untuk memastikan kami kekal kompeten. Tetapi yang paling penting sekali, ia membolehkan kami untuk menjalinkan hubungan kerjasama yang lebih baik dan berkekalan dengan sekutu-sekutu kami serta pasukan-pasukan tentera udara lain,” ujar Blade.

Sumber: New Straits Times – “Pitch Black” oleh Haris Hussain

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker