Isu SemasaTempatan

PDRM Sasar Militan Wanita Dan Kanak-Kanak

Selain daripada militan lelaki, Bukit Aman kini sedang meningkatkan pengawasan terhadap anggota pengganas wanita dan kanak-kanak juga.

Ini adalah kerana terdapat kemungkinan lebih ramai rakyat Malaysia yang berjuang untuk militan IS di Syria akan pulang semula ke tanah air menjelang hujung tahun ini.

Selain itu, serangan bom berani mati ke atas gereja di Surabaya, Indonesia pada bulan Mei lalu juga menyebabkan pihak berkuasa meningkatkan pengawasan terhadap militan wanita serta kanak-kanak.

Difahamkan, serangan tersebut dilakukan oleh sebuah keluarga, termasuk dua kanak-kanak perempuan berusia 9 dan 12 tahun.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman,Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay, polis Malaysia bimbang dengan peningkatan jumlah wanita dan kanak-kanak yang dipergunakan oleh kumpulan-kumpulan pengganas, khususnya bagi tujuan melancarkan serangan bom berani mati atau serangan keganasan secara solo.

“Kita telah mengambil langkah berjaga-jaga. Serangan itu membuktikan bahawa wanita dan kanak-kanak boleh dieksploitasi oleh kumpulan-kumpulan pengganas untuk menjadi pengebom berani mati,” kata Ayob.

Jelas beliau, pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana wanita yang terlibat dalam kumpulan militan, walaupun terdapat kritikan bahawa penahanan seumpamanya adalah “tidak wajar.”

“Semua tangkapan adalah perlu bagi memastikan negara kita tidak menjadi mangsa serangan pengganas,” tegasnya.

Ayob menyatakan bahawa antara langkah yang diambil oleh Bukit Aman untuk menangani perkara ini adalah dengan membendung serangan daripada berlaku dan memulihkan anggota-anggota militan yang pulang semula ke negara.

“Salah seorang yang ditahan merupakan ketua sel pengganas wanita, yang meranang serangan ke atas pusat mengundi di Puchong, Selangor pada 9 Mei,” jelas beliau.

Seramai 44 wanita telah ditahan kerana terbabit dengan kegiatan-kegiatan berkaitan keganasan, di mana 6 daripada mereka ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah manakala 2 lagi di bawah Akta Pencegahan Keganasan.

“3 (wanita) telah dihantar pulang. 14 daripada mereka didakwa di mahkamah sementara 19 lagi dibebaskan kerana kekurangan bukti.

“Kami kekal profesional dalam melaksanakan tugas kerana tidak boleh ada sebarang kompromi terhadap perkara-perkara berhubung keselamatan,” tambah Ayob.

Sumber: The Star

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker