AntarabangsaIsu Semasa

Beijing Pantau Penduduk Melalui Sistem Pemarkahan

Majlis perbandaran Beijing akan menilai penduduk dan firma perniagaan melalui “markah kepercayaan peribadi” bermula 2021, sekaligus menjadi perintis dalam pelan kontroversi China untuk menggunakan “sistem kredit sosial” bagi memantau rakyat dan perniagaan.

Pelancaran sistem itu telah mencetuskan kontroversi, dengan pengkritik mengatakan ia secara besar-besaran boleh meningkatkan kawalan ketat Parti Komunis China kepada rakyat.

Dalam pelan yang dikeluarkan pada tahun 2014, China berkata ia akan menggunakan “sistem kredit sosial” untuk memberi ganjaran atau menghukum individu dan syarikat. Sistem terbabit akan merekod pelbagai langkah kredit kewangan, tingkah laku peribadi dan salah laku korporat.

Tetapi kerajaan China tidak menyatakan akan memberi markah seperti yang dicadangkan oleh majlis perbandaran Beijing dalam rancangan baru yang dikeluarkan untuk meningkatkan persekitaran perniagaan di Bandar itu.

Senarai data, tindakan dan ukuran akan digunakan untuk mewujudkan sistem percubaan “markah kepercayaan peribadi” untuk penduduk dan syarikat di ibu negara China itu.

Istilah yang digunakan juga boleh diterjemahkan sebagai “layak mendapat kredit” atau “integriti”. Pelan itu bagaimanapun tidak menjelaskan bagaimana sistem markah akan berfungsi.

Tetapi maklumat dari sistem itu boleh memberi kesan kepada akses pasaran, perkhidmatan awam, perjalanan, pekerjaan dan keupayaan untuk memulakan perniagaan, dengan individu yang boleh dipercayai diberi “lampu hijau” dan mereka yang disenaraihitamkan “tidak akan dapat bergerak ke hadapan”.

“Ini merupakan pendekatan penting oleh Beijing untuk menilai kredit seseorang individu dan memastikan mereka melakukan yang terbaik dalam kehidupan,” kata pegawai yang tidak dinamakan dari perancang majlis perbandaran itu.

Pelan ini harus menjadi contoh kepada seluruh negara untuk memperbaiki tingkah laku individu dan perniagaan, lapor agensi berita Xinhua.

Sistem kedua juga akan ditubuhkan untuk menilai kepercayaan pegawai dan jabatan kerajaan dengan mengukur sama ada kontrak dan janji ditunaikan dan hasilnya akan dimasukkan dalam penilaian prestasi.

Sistem kredit sosial yang sedang dibina berdasarkan prinsip “sekali tidak dapat dipercayai, sentiasa terbatas”, akan menggalakkan badan-badan kerajaan untuk berkongsi lebih banyak maklumat mengenai kesalahan individu dan perniagaan untuk menyelaraskan hukuman dan ganjaran.

Sesetengah pakar mengatakan bahawa sistem itu mempunyai kebaikan kerana boleh membantu menangani masalah sosial seperti penipuan atau keselamatan makanan, dan juga menyatakan bahawa hukuman adalah terhad kepada senarai hitam industri dan bukannya skor holistik.

Sistem hukuman untuk individu yang disenarai hitam bagi kesalahan seperti gagal membayar denda yang diperintahkan oleh mahkamah, telah pun dilaksanakan pada bulan Mac. Penalti termasuk mengharamkan pesalah daripada membuat pembelian mewah, seperti tiket untuk penerbangan atau kereta api berkelajuan tinggi, sehingga tempoh satu tahun. – Asia One

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker