Isu SemasaTempatan

Apakah Hukum Mengucapkan “Merry Christmas” Kepada Rakan Kristian Anda?

Bulan Disember sinonim dengan sambutan perayaan Hari Krismas, perayaan yang disambut oleh penganut ajaran Kristian.

Namun, sebagai umat Islam terdapat setengah pihak yang meletakkan ucapan Selamat Hari Krismas atau Merry Christmas sebagai haram untuk diucapkan oleh umat Islam.

Kenapa Ada Pendapat Mengatakan Ia Haram?

Menurut pandangan ini, ia berlandaskan hujah bahawa ucapan tersebut membayangkan penerimaan dan pengakuan terhadap Tuhan selain Allah SWT.

Sumber Gambar: freemalaysiatoday.com

Walau bagaimanapun Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata tidak ada sebarang masalah untuk umat Islam mengucapkan “Merry Christmas” kepada penganut Kristian.

Menurut beliau, orang Islam dibenarkan untuk melakukan demikian sebagai tanda ucapan ke atas sambutan perayaan tersebut tanpa niat mengagungkan agama tersebut.

“Ia hanyalah ucapan untuk bersama berasa gembira dalam melihat mereka (penganut Kristian) meraikan perayaan tersebut,” jelas Mufti seperti yang dilaporkan dalam akhbar TheStar.

 

Umat Islam Boleh Mengucap Merry Christmas Dengan Syarat..

Bagaimanapun, katanya kepada astroawani, umat Islam tetap perlu mematuhi beberapa ‘syarat’ seperti melafazkan ucapan tanpa niat mengagungkan, dan tidak membabitkan diri dalam ritual keagamaan yang dilakukan.

Kenyataan itu turut memetik beberapa ayat al-Quran, seperti Surah al-Mumtahanah ayat 8 hingga 9.

Ayat itu antara lainnya menggalakkan umat Islam berlaku adil dan saksama kepada orang-orang bukan Islam yang tidak bermusuh dengan Islam.

Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia

Menurut kenyataan itu lagi, hal ini juga selari dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-78 tahun 2007 yang berbunyi:

“Memberi ucapan tahniah dan selamat atau mengirimkan ucapan melalui kad atau alat-alat telekomunikasi seperti e-mel atau sistem pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya kepada orang bukan Muslim sempena dengan perayaan agama mereka adalah harus, dengan syarat ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama bukan Muslim serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam kiriman ucapan tersebut.”

Penting Untuk Hidup Harmoni

Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menambah bahawa ia adalah penting untuk hidup harmoni bersama orang berlainan agama.

Perkara ini pernah dijelaskan pada tahun 2016 setelah beberapa kumpulan Islam konservatif pada tahun 2014 berkata umat Islam tidak boleh mengucapkan “Merry Christmas” kepada penganut Kristian dan menjatuhkan hukuman haram terhadap perkara ini.

Untuk huraian lebih lanjut tentang perkara ini, anda boleh melayari laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker