MalaysiaPolitik

MCA Mahu Bubarkan Gabungan Barisan Nasional

MCA kini mahu melaksanakan pembubaran Barisan Nasional (BN) berikutan keputusan oleh perwakilan parti yang menuntut agar gabungan itu “diperbaharui”.

Resolusi yang dicapai oleh 1,637 perwakilan di Wisma MCA semasa perhimpunan agung parti ke-65, telah memberikan mandat kepada jawatankuasa pusat MCA untuk “memulakan proses pembubaran”.

Walau bagaimanapun, ia masih tidak jelas bagaimana MCA dapat melakukannya kerana parti itu tidak memegang kuasa veto untuk membubarkan pakatan.

“Jawatankuasa pusat akan memulakan proses untuk membubarkan BN dan mereka akan mengambil langkah seterusnya. Satu cadangan akan dikemukakan dan dibincangkan oleh majlis tertinggi parti gabungan itu.”

“Kami akan mencari persetujuan secara bersama,” kata Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam sidang media selepas menyampaikan ucapan dalam perhimpunan agung parti itu.

Dalam kenyataan bercetak mengenai resolusi parti, ia berkata: “Perhimpunan Agung memberi kuasa kepada jawatankuasa pusat untuk membuka jalan bagi pembubaran BN dan menjalin perikatan baru.”

BN kini hanya dianggotai Umno, MCA dan MIC, selepas Gerakan dan parti-parti Sabah dan Sarawak meninggalkan pakatan itu berikutan kekalahannya dalam pilihan raya umum.

Di Dewan Rakyat, Umno kini memegang 42 kerusi, MIC mempunyai dua kerusi dan MCA kekal dengan satu.

Resolusi semalam juga menyimpang daripada apa yang dilaporkan sebelum ini, di mana parti itu dikatakan cuba keluar dari gabungan BN.

Apabila ditanya mengenai pendekatan yang akan diambil bagi meyakinkan rakan sekutu mengenai pembubaran BN, Wee berkata: “Kami tahu apa yang perlu dilakukan.”

Wee juga enggan mengulas soalan mengenai sama ada beliau akan memilih pakatan baru untuk dibentuk, lapor NST.

Ketika ditanya sama ada pembubaran BN dituntut oleh komuniti Cina, Wee berkata keputusan itu dicapai oleh perwakilan.

“Keputusan ini diputuskan oleh perwakilan yang mengikut proses demokrasi. Keputusan ini telah diluluskan oleh perhimpunan agung.”

Wee juga berkata bilangan wakil parti MCA di Parlimen tidak menjadi faktor kepada resolusi pembubaran terbabit.

“Sila faham struktur BN. Ia bukan mengenai bilangan kerusi. Ia adalah mengenai persetujuan. Kami adalah BN. Sebagai contoh di bawah perlembagaan MCA, kuasa penuh diserahkan kepada jawatankuasa pusat. “

Wee juga menafikan bahawa ada campur tangan luar yang mempengaruhi resolusi itu dan menegaskan ia dicapai menurut persetujuan perwakilan.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker