AntarabangsaIsu Semasa

“Indonesia Adalah Negara Islam Sederhana” – Prabowo

Calon presiden Indonesia, Prabowo Subianto mempromosikan negara itu sebagai “destinasi yang selamat” bagi komuniti perniagaan Singapura, sambil menyifatkan Indonesia sebagai negara Islam yang sederhana.

“Saya pasti majoriti umat Islam di Indonesia adalah sederhana,” katanya ketika berucap di majlis makan malam World 2019 yang dianjurkan oleh The Economist di Singapura pada Selasa lalu.

Jelas beliau, terdapat ramai ulama’ yang dilabel ‘radikal’ walaupun kebanyakan daripada mereka sebenarnya menentang radikalisme dan mempromosikan keamanan.

“Mereka amat letih dituduh menjadi anggota kumpulan politik radikal, tetapi ini sepatutnya menjadi tanggungjawab pemimpin negara: untuk mendidik rakyat dan menerima ulama’ agar mereka tidak menjadi radikal.

“Tetapi, saya yakin kerana saya melihat ramai pemimpin agama di Indonesia menentang radikalisme dan ajaran Islamik telah menekankan perkara ini,” tegas Prabowo.

Menurut pengerusi Parti Gerindra itu, pemimpin yang baik adalah seseorang yang mampu menghapuskan semua bentuk radikalisme.

Tambahnya lagi, salah satu cara yang terbaik untuk melaksanakan perkara itu adalah dengan mewujudkan peluang pekerjaan bagi golongan muda.

“Jika orang muda kecewa dan hilang harapan, rasa pesimis tentang masa depan mereka, maka ‘demagog’ agama boleh mempengaruhi mereka dengan mudah,” ujarnya.

Difahamkan, demagog adalah pemimpin/peneraju politik yang menggunakan/memperalatkan keinginan atau emosi rakyat tanpa hujah yang rasional semata-mata untuk meraih sokongan, populariti, dan kuasa.

Dalam pada itu, Prabowo juga terkenal dengan hubungan rapatnya bersama umat Islam yang konservatif.

Beliau telah meraih sokongan daripada parti-parti Islamik, termasuk┬áParti Keadilan Sejahtera (PKS) serta Parti Amanat Nasional (PAN), dan juga daripada “Alumni 212” – sebuah kumpulan untuk peserta-peserta yang mengadakan pelbagai siri perhimpunan/demonstrasi untuk menggesa peletakan jawatan bekas Gabenor Jakarta, Basuki “Ahok” Tjahaja Purnama yang didakwa menghina kitab suci Al-Quran pada tahun 2016.

Ahok kemudian disabitkan bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara dua tahun. Beliau dijangka akan dibebaskan pada awal tahun depan.

Walau bagaimanapun, usaha Indonesia untuk membina semula imej sederhananya telah dicemari oleh tindakan-tindakan radikal lain seperti serangan bom di tiga gereja di Surabaya pada bulan Mei lalu.

Pemerhati komunikasi politik, Hendri Satrio dari Paramadina University di Jakarta berkata, Prabowo sasar untuk menggambarkan dirinya sebagai seorang pemimpin yang sederhana sambil menuding jari terhadap kerajaan pimpinan pesaingnya, Presiden Joko Widodo (Jokowi), kerana gagal mengekalkan keharmonian agama.

“Dia (Prabowo) mahu menunjukkan bahawa dia terbuka kepada semua kumpulan Muslim, bahawa dia adalah lain daripada Jokowi kerana dia akan mampu menerima kedua-dua Muslim konservatif dan sederhana,” kata Hendri.

Tambah beliau, Jokowi juga dilihat menggunakan retorik yang serupa, khususnya dalam forum-forum antarabangsa.

“Jokowi menekankan kesederhanaan dan pluralisme pada setiap masa, mungkin sedang cuba untuk menerima semua kumpulan Muslim. Tetapi, sama ada beliau berjaya atau tidak adalah persoalan lain,” jelas Hendri.

 

Sumber: Jakarta Post

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker