AntarabangsaIsu Semasa

Detik Mendebarkan Angkasawan AS Dan Rusia Melakukan Pendaratan Kecemasan

Pada bulan Oktober lalu, kosmonaut Rusia, Aleksey Ovchinin dan angkasawan Amerika Syarikat (AS), Nick Hague sepatutnya berlepas ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) untuk menjalani misi selama 6 bulan di sana.

Namun, kapal angkasa Soyuz yang dinaiki mereka terpaksa melakukan pendaratan kecemasan yang kritikal selepas dua minit berlepas dari Kazakhstan akibat kesilapan teknikal yang serius.

MenurutĀ Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik AS (NASA), kegagalan tersebut menyebabkan Ovchinin dan Hague mendarat di sebuah padang rumput yang terletak kira-kira 400 kilometer dari tapak pelancaran.

Walau bagaimanapun, nasib menyebelahi kedua-dua angkasawan itu memandangkan mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menceritakan pengalamannya melakukan pendaratan cemas, Ovchinin menyifatkan G-Force pada ketika itu rasa seperti “blok konkrit menghempap dadanya”.

“Tekanan G-Force yang melampau ketika pendaratan dirasai daripada dada sehingga belakang, jadi bayangkan seseorang meletakkan blok konkrit besar yang mempunyai berat 7 kali ganda daripada berat anda di dada anda,” katanya.

Tetapi, Ovchinin dan Hague tidak tercedera dan disahkan oleh doktor bahawa kesihatan mereka berada dalam keadaan yang baik.

“Saya rasa sihat, sama juga seperti rakan sekerja saya, angkasawan AS Nick Hague. Doktor menyatakan bahawa kesihatan kami berada pada tahap baik, malah lebih baik,” ujar beliau lagi.

Sementara itu, Ovnichin dan Hague menjelaskan bahawa mereka berdua menyedari ada sesuatu yang tidak kena apabila lampu kecemasan mula menyala di dalam kapal angkasa mereka.

“Latihan benar-benar membuahkan hasil. Pada kebanyakan waktu, sistem keselamatan berfungsi secara automatik, dan kami hanya mengikut sistem itu,” ujar Ovchinin.

Dalam pada itu, kosmonaut Rusia itu juga dilihat berada dalam keadaan “tenang” ketika memaklumkan pusat kawalan misi bahawa kemalangan sedang berlaku.

“Tiada masa untuk gementar, kerana kita perlu bekerja. Kami terpaksa melalui langkah-langkah yang perlu diambil oleh kru (angkasa) dan bersedia untuk melakukan pendaratan kecemasan,” tambahnya lagi.

Susulan pendaratan itu, Hague yang dihantar pulang semula ke tanah airnya meluahkan kekecewaan beliau kerana tidak dapat berlepas ke angkasa.

Menurut Hague, beliau telah menjalani latihan selama dua tahun untuk misi tersebut.

“Saya sepatutnya perlu lakukan ‘spacewalk’ dua hari dari sekarang. Tetapi kehidupan tidak selalunya beri anda pilihan.

“Apabila NASA mahu saya terbang (ke angkasa), saya bersedia untuk pergi,” katanya.

Sumber: AFP

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button