AntarabangsaIsu Semasa

CIA Kantoi Pernah Cuba Gunakan ‘Serum Kebenaran’ Ke Atas Banduan Al-Qaeda

Selain daripada ‘waterboarding’ dan kaedah-kaedah seksaan yang lain, penyoal siasat Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) pernah mempertimbang untuk menggunakan ‘serum kebenaran’ (truth serum) ke atas suspek-suspek pengganas Al-Qaeda selepas tragedi 9/11.

Memetik laporan media antarabangsa, perkara ini terkandung di dalam dokumen sulit lama yang baru sahaja didedahkan pada 13 November lalu.

Selepas 9/11, penyoal siasat CIA dilaporkan amat ‘terdesak’ untuk mendapatkan maklumat daripada tahanan Al-Qaeda, Abu Zubaydah (AZ) mengenai plot serangan akan datang yang telah dirancang.

Abu Zubaydah dipercayai merupakan salah seorang daripada dalang yang bertanggungjawab melancarkan serangan 9/11.

Oleh yang demikian, CIA merujuk kepada eksperimen-eksperimen dadah yang mempengaruhi minda seperti LSD yang dilaksanakan pada tahun 1950an, dan juga ‘serum kebenaran’ yang didakwa pernah diuji oleh Rusia pada 1980an.

Eksperimen CIA yang dilakukan pada 1950an itu dikenali sebagai “Project Medication”, di mana doktor-doktor agensi tersebut mengkaji barbiturat seperti sodium amytal dan psikotomimetik, yang boleh mewujudkan simptom-simptom psikosis.

Para doktor juga amat ‘berminat’ dengan dadah yang dikenali sebagai “Versed”, atau midzolam, iaitu ubat penenang yang boleh menyebabkan kehilangan memori.

Difahamkan, idea untuk menggunakan ‘serum kebenaran’ itu tercetus apabila penyoal siasat “kecewa” dengan ketahanan dan kecekalan Abu Zubaydah yang tetap tidak mendedahkan maklumat walaupun sudah melalui pelbagai bentuk seksaan.

“Ketegangan dan tempoh soal siasat yang lama ke atas AZ mengejutkan OMS (Pejabat Perkhidmatan Perubatan CIA),” kata dokumen itu sambil menambah bahawa OMS kemudian mengadakan kajian lanjut mengenai kaedah alternatif yang lebih ‘lembut’, iaitu soal siasat berdasarkan penggunaan dadah.

Walau bagaimanapun, mereka tidak menemui bukti kukuh bahawa penggunaan dadah boleh menyebabkan tahanan untuk memberi maklumat.

“Dadah seperti itu, walaupun dianggap secara meluas sebagai ‘sumber kebenaran yang tidak boleh dipercayai’, dipercayai amat berguna sebagai ‘alasan’ yang akan membolehkan subjek (tahanan) untuk lebih bersedia mendedahkan maklumat secara rela,” jelas penyoal siasat CIA.

 

Sumber: AP

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker