AntarabangsaIsu Semasa

Pentagon Akan Membangunkan ‘Super-Soldier’?

Tentera Amerika Syarikat (AS) sedang melabur wang bernilai jutaan dolar dalam eksperimen teknologi eksorangka (exoskeleton) untuk menjadikan anggota tentera lebih kuat dan berdaya tahan.

Menurut pakar, ini merupakan sebahagian daripada rancangan untuk menghasilkan peralatan-peralatan yang lebih canggih dalam usaha melahirkan barisan “super-soldier” generasi baru.

Teknologi ini dibangunkan oleh syarikat pengeluar pesawat terkemuka di AS, Lockheed Martin Corp yang memperoleh lesen daripada syarikat teknologi Kanada bernama B-TEMIA.

Difahamkan, B-TEMIA telah membangunkan eksorangka untuk membantu individu-individu yang mengalami masalah pergerakan berpunca daripada pelbagai penyakit.

Dalam pada itu, eksorangka yang dicipta untuk tentera ini menggunakan bateri, dan dilengkapi dengan sensor, kecerdasan buatan (AI), dan teknologi-teknologi canggih lain bagi membantu pergerakan semula jadi badan pengguna.

Di medan pertempuran, tentera AS selalunya akan mengalami masalah dari segi membawa barang peralatan perang yang banyak dan berat termasuk perisai badan, teropong penglihatan malam, dan radio-radio canggih.

Secara keseluruhan, berat peralatan-peralatan itu boleh mencecah 40kg sehingga 64kg, sedangkan had yang disyorkan hanya 23kg.

“Ini bermakna apabila musuh mula muncul, mereka (tentera AS) sudah pun keletihan. Cabaran asas yang sedang dihadapi oleh anggota-anggota infantri adalah mereka memikul beban yang terlalu tinggi,” kata Paul Scharre dari Center for a New American Security, yang mengetuai beberapa siri penyelidikan mengenai eksorangka dan peralatan-peralatan canggih lain.

Sementara itu, Lockheed Martin dalam satu kenyataan pada Khamis menyatakan bahawa ia telah meraih kontrak dua tahun bernilai AS$6.9 juta dari U.S. Army Natick Soldier Research, Development and Engineering Center bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan eksorangka yang diberi gelaran ONYX.

Keith Maxwell, pengurus teknologi eksorangka di Lockheed Martin Missiles and Fire Control berkata, individu-individu yang pernah memakai eksorangka ciptaan mereka untuk diuji, mempamerkan daya tahan yang lebih hebat.

“Anda dapat bertempur dengan segar. Anda tidak letih,” ujar Maxwell.

Menurut beliau, setiap satu eksorangka dijangka akan bernilai puluhan ribu dolar.

 

Sumber: Reuters

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker