Isu SemasaTempatan

Dr. Maszlee Tegur Media Kerana Kerap Melakukan Satu Perkara Ini…

Selain daripada ibu bapa dan guru, media memainkan peranan yang amat penting dalam mendidik dan menyampaikan maklumat yang betul kepada masyarakat, khususnya mengenai isu semasa.

Pada era moden yang dipenuhi dengan berita palsu ini, pengamal media memikul tanggungjawab yang lebih berat untuk memastikan bahawa semua berita yang diterbitkan adalah sahih.

Bukan itu sahaja, malah media tidak digalakkan untuk menyaji berita-berita sensasi semata-mata kepada masyarakat hanya untuk mendapatkan jumlah pembaca yang tinggi.

Bercakap mengenai isu ini, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menegur sesetengah media pada zaman ini yang dilihat gemar memberi fokus terhadap isu-isu yang ‘panas’ atau sensasi, berbanding menghasilkan bahan-bahan bacaan yang boleh mendidik dan memanfaatkan masyarakat.

Tegas beliau, pengamal media perlu menggunakan ruang yang ada dengan sebaik mungkin untuk memupuk nilai-nilai murni yang akan mendidik orang awam, memandangkan kualiti sesebuah masyarakat itu bergantung pada bahan bacaan mereka.

Menjadikan cara penulisan pengamal media pada 20 tahun lalu sebagai contoh, menyatakan bahawa penulisan pada waktu itu membentuk “aura yang positif” kepada para pembaca walaupun bahannya adalah berdasarkan kemalangan.

“Tidak seperti hari ini di mana tajuk berita lebih bersifat kontroversi dan sensasi.” – Dr. Maszlee Malik

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis pelancaran Program Read@Uni Institusi Pendidikan Tinggi di Dewan Agong Tuanku Canselor, Universiti Teknologi Mara pada Khamis.

Dr. Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam turut menambah bahawa surat khabar pada zaman dahulu memainkan peranan penting bukan hanya sebagai penyebar berita mengenai isu-isu yang berlaku di dalam dan luar negara, tetapi juga selalu membawa ke hadapan perkataan-perkataan yang ‘tertanam’ di dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ujar beliau, peranan pengamal media dilihat lebih ‘mesra’ dengan berita-berita sensasi dan kerap menyebarkan isu-isu tertentu demi meraih jumlah pembaca yang tinggi.

Justeru, Dr. Maszlee berharap agar budaya ini diubah dalam usaha meningkatkan kualiti bahan-bahan bacaan.

“Saya berharap kita boleh melahirkan lebih ramai pengamal media yang boleh menggunakan penulisan mereka untuk memanfaatkan orang ramai dan membangunkan tamadun yang lebih baik,” katanya.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker