Isu SemasaTempatan

PTPTN: Gaji RM2000, Baru Bayar RM40 Setiap Bulan

Membayar semula hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) apabila gaji sudah mencecah RM4,000 merupakan salah satu daripada janji yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Walau bagaimanapun, perkara tersebut dilaporkan tidak dapat dilaksanakan pada waktu ini disebabkan pelbagai faktor, termasuk keadaan kewangan negara yang tidak stabil.

Berikutan itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan bahawa pembayaran semula perlu dilakukan sekiranya gaji peminjam adalah RM1,000 ke atas.

Pembayaran semula dilakukan menerusi kaedah potongan gaji berjadual di antara 2% sehingga 15%, mengikut jumlah pendapatan peminjam.

2% adalah potongan minimum, manakala 15% pula adalah potongan maksimum yang akan dilaksanakan oleh kerajaan.

Namun begitu, ramai pihak, khususnya para peminjam PTPTN tidak berpuas hati dengan dasar ini dan menganggap kerajaan pimpinan PH hanya menabur janji palsu ketika PRU14.

Baru-baru ini pula, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menyatakan bahawa pemotongan gaji hanya akan dilakukan ke atas peminjam yang berpendapatan mencecah RM2,000 sebulan, yang bakal dikuatkuasakan mulai bulan Januari tahun 2019.

Pada masa yang sama, pengecualian pembayaran pinjaman PTPTN bagi peminjam dari golongan isi rumah berpendapatan pertengahan (M40) yang memperoleh ijazah kelas pertama juga akan dilaksanakan mulai tempoh itu juga.

Memetik laporan The Sun Daily, Dr. Maszlee berkata, peminjam yang meraih pendapatan bulanan RM2,000 akan dikenakan potongan gaji sebanyak 2% atau RM40 sebulan.

Dalam pada itu, mereka yang memperoleh pendapatan lebih daripada jumlah berkenaan akan dikenakan potongan yang lebih tinggi.

Ujar beliau, perkara ini diputuskan dalam mesyuarat Kabinet pada 23 November baru-baru ini.

“Apa yang kita boleh lakukan pada waktu ini adalah menetapkan RM2,000 sebagai permulaan pembayaran semula dan kemudian meningkatkannya (potongan) berdasarkan pendapatan peminjam.

“Kabinet juga bersetuju untuk mengecualikan pembayaran semula pinjaman bagi mereka daripada golongan M40 yang menerima ijazah kelas pertama. Cadangan asal hanya untuk mereka daripada golongan B40 (isi rumah berpendapatan rendah),” katanya.

Mengenai janji pilihan raya PH yang hanya mewajibkan peminjam berpendapatan RM4,000 ke atas untuk membuat pembayaran semula, Dr. Maszlee menjelaskan bahawa kerajaan akan melakukan yang terbaik dalam usaha menunaikannya apabila keadaan kewangan negara kembali stabil.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker