AntarabangsaIsu Semasa

Jepun Akan ‘Borong’ 100 Jet Pejuang F-35?

Kerajaan Jepun sedang mempertimbang untuk membeli 80 sehingga 100 buah jet pejuang halimunan F-35 tambahan untuk Pasukan Pertahanan Diri Udara (ASDF) negara itu.

Menurut sumber, sekiranya kerajaan negara ‘matahari terbit’ itu membelinya, ASDF akan memiliki 120 sehingga 140 buah F-35 secara keseluruhan.

Memetik laporan Washington Post, pembelian ini bertujuan untuk menyaingi kekuatan udara China yang semakin meningkat.

F-35 yang dibina oleh syarikat pengeluar pesawat terkemuka Amerika Syarikat AS, Lockheed Martin Corp, dan teknologi halimunan canggihnya membolehkan jet iu sukar untuk dikesan oleh radar musuh.

Selain itu, pesawat F-35 tambahan yang mungkin akan dibeli oleh Jepun ini juga akan menggantikan lebih separuh daripada 200 pesawat tempur F-15 sedia ada milik negara itu.

Pada masa ini, F-15 adalah jet pejuang utama Jepun.

Memandangkan sebuah F-35 menelan kos lebih daripada 10 bilion yen (RM368.9 juta) dan mempunyai keupayaan yang lebih hebat berbanding F-15, kerajaan Jepun mungkin akan memansuhkan satu squadron yang memiliki 20 pesawat, dan kemudian hanya membeli 80 unit F-35, kata sumber.

Dalam Program Pertahanan Penggal Pertengahan yang akan datang bagi tahun 2019-2023, kerajaan pada asalnya bercadang untuk menambah kira-kira 20 unit F-35A, tetapi mungkin akan membeli lebih daripada itu.

Rancangan penuh untuk membeli unit F-35A tambahan itu dijangka akan dimuktamadkan pada bulan Disember tidak lama lagi.

Selain daripada pembelian F-35A, kerajaan Jepun juga mempertimbang untuk membeli model F-35B, memandangkan ia boleh berlepas dari landasan yang lebih pendek dan mendarat secara menegak.

Kelebihan ini dilaporkan boleh membantu mengukuhkan lagi pertahanan di pulau-pulau terpencil.

Bukan itu sahaja, malah kerajaan juga sedang mempertimbang untuk mengubah kapal pemusnah milik tentera laut Jepun, Izumo, menjadi kapal pengangkut pesawat yang boleh menampung pelepasan dan pendaratan F-35B.

Menteri Pertahanan, Takeshi Iwaya dalam sebuah sidang media baru-baru ini berkata, kerajaan mahu kapal itu menjadi “serba boleh yang mungkin”, sekali gus menunjukkan kesanggupan untuk meneruskan rancangan mengubah kapal perang Izumo menjadi kapal pengangkut pesawat.

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker