Isu SemasaTempatan

Jumlah Kediaman Tidak Terjual Berada Pada Tahap ‘Membimbangkan’

Jumlah kediaman yang sudah siap dibina namun tidak terjual berada pada tahap yang membimbangkan.

Menurut Pusat Maklumat Hartanah Negara, terdapat 29,227 unit rumah tidak terjual di Malaysia pada separuh pertama tahun 2018, yang bernilai RM17.24 bilion secara keseluruhan.

Pengerusi Eksekutif syarikat perunding hartanah antarabangsa Rahim & Co, Tan Sri Abdul Rahim Abdul Rahman berkata, situasi ini mungkin akan kembali pulih pada dua tahun akan datang memandangkan kuasa pasaran dan pelbagai langkah lain yang diambil dijangka akan menstabilkan keadaan.

“Terdapat dua cara bagaimana untuk menangani perkara ini. Pertama, pihak berkuasa tempatan boleh membekukan arahan pembangunan bagi menangani (isu) kediaman tidak terjual.

“Lagi satu cara adalah dengan membiarkan ia ditentukan oleh kuasa pasaran. Biar pasaran membetulkan dirinya sendiri,” jelasnya di sebuah sidang media pada 13 November lalu.

Ujar Abdul Rahim, pasaran hartanah tetap berjaya kembali pulih walaupun pernah berlaku dua kemelesetan ekonomi sebelum ini.

Namun tambah beliau, situasi pada masa ini bukanlah kemelesetan ekonomi, tetapi ia sebaliknya disebabkan terlebih bekalan.

“Dalam kes ini, pemaju perlu berhemat dalam apa yang mereka tawarkan. Ia (tawaran) haruslah sesuatu yang boleh dijual mengikut keadaan pasaran semasa.

“Di Singapura, pemaju-pemaju disaman sekiranya mereka gagal menjual hartanah dalam tempoh yang ditetapkan. Inilah sebabnya mengapa ia penting bagi pemaju untuk mengkaji atau melakukan kajian kebolehlaksanaan terlebih dahulu, sebelum membuat pelancaran (hartanah),” tegas Abdul Rahim.

Sementara itu, Pengarah Agensi Hartanah Rahim & Co, Robert Ang menyatakan bahawa beliau tidak menyokong cadangan untuk membekukan arahan pembangunan.

“Ekonomi kita agak matang dan kita perlu membiarkan kuasa pasaran menentukan hala tujunya, bukan dengan cara mengenakan sekatan ke atas pemaju dan pelabur.

“Biar pemaju menguruskan diri mereka sendiri. Ini boleh dilakukan dengan menurunkan harga atau menawarkan pakej-pakej istimewa. Dalam perniagaan, anda harus bijak,” kata Robert.

 

Sumber: The Star

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker