Gaya HidupKesihatanTeknologi

Aplikasi Untuk Kesan Kanser Mulut Sedang Direka

Aplikasi mudah alih berasaskan teknologi kepintaran buatan untuk membuat pengesanan awal kanser mulut dijangka memberi manfaat kepada mereka yang berada di kawasan luar bandar dengan akses terhad kepada pakar.

Aplikasi itu sedang dibangunkan oleh Universiti Malaya (UM) dan Penyelidikan Kanser Malaysia dengan kerjasama Prof Sarah Barman dari Kingston University di Britain.

Ia sedang dilaksanakan atas geran penyelidikan £ 146,920 (RM797,768) dari United Kingdom Medical Research Council.

Ketua Penyelidikan Kanser Malaysia, Prof Dr Cheong Sok Ching berkata walaupun Malaysia bernasib baik kerana mempunyai penjagaan kesihatan yang meluas, perkhidmatan diagnostik kanser masih terhad di kawasan luar bandar.

“Oleh itu, mereka yang memerlukan rawatan kesihatan perlu pergi ke bandar-bandar besar di pantai barat Semenanjung Malaysia atau ke Kuching dan Kota Kinabalu,” katanya.

Perjalanan itu, katanya, sering menjadi halangan utama kepada orang ramai daripada mendapatkan rawatan awal.

Kanser mulut adalah antara lima jenis kanser yang paling biasa di Asia.

“Malangnya, majoriti pesakit kanser mendapatkan rawatan apabila penyakit mereka telah mencapai tahap kritikal,” kata Prof Cheong, yang juga salah seorang penyelidik utama dalam kajian itu.

“Cabaran untuk mengakses pengesanan awal di kawasan luar bandar adalah perkara biasa di negara berpendapatan rendah dan sederhana. Jadi, aplikasi mudah alih yang dikuasai oleh teknologi AI mungkin merupakan jawapan yang terbaik,” katanya.

Walaupun Penyelidikan Kanser Malaysia telah membangunkan satu aplikasi yang boleh menangkap imej rongga mulut, ia masih mahal dan memakan masa yang lama kerana bergantung kepada pakar perubatan mulut terlatih untuk mentafsir data.

Aplikasi terbaru dengan AI ini akan membolehkan imej yang ditangkap menggunakan telefon bimbit, dibaca dan ditafsir dengan lebih cepat.

Projek itu, kata Prof Cheong, akan membina perkongsian sedia ada dengan pakar mulut di Malaysia, Nepal dan Sri Lanka.

Prof. Barman berkata cabaran untuk mencipta algoritma dan menerapkannya kepada pelbagai imej yang diambil pada telefon bimbit adalah menarik.

“Kami tidak sabar untuk bekerjasama dengan rakan-rakan kami di UM dan Penyelidikan Kanser Malaysia mengenai projek ini, yang mungkin mempunyai kesan kesihatan global kelak,” katanya.

Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Vicki Treadell berkata aplikasi itu bukan sahaja akan menjadikan pengesanan kanser mulut lebih mudah untuk orang di kawasan luar bandar tetapi dengan kecanggihan telefon bimbit, teknologi itu boleh digunakan lebih meluas untuk menangani isu kesihatan global yang lain.

“Malaysia mempunyai salah satu pemilikan tertinggi untuk telefon bimbit, dengan purata 1.8 telefon untuk setiap warganegara dan jumlah ini boleh terus berkembang dalam beberapa tahun akan datang,” katanya.

Dengan kos data mudah alih yang terus menurun, ini juga dapat meningkatkan akses kepada telefon pintar, tambah Treadell.

“Ini akan menjadi projek penjagaan kesihatan yang sangat berkesan dengan inovasi dan pemahaman AI,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button