AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Apa Yang Menyebabkan “Kekalahan Besar” Parti Pemerintah Taiwan Dalam Pilihan Raya Tempatan?

Parti pemerintah dan pro-kemerdekaan Taiwan, Democratic Progressive Party (DPP) pimpinan Presiden Tsai Ing-wen telah mengalami kekalahan besar dalam pilihan raya tempatan pada Sabtu lalu.

DPP ditewaskan oleh parti Kuomintang (KMT) yang mesra China, di mana KMT berjaya merampas 7 bandar dan 13 Daerah, termasuk dua kubu kuat DPP iaitu Kaohsiung dan Yilan.

Bukan itu sahaja, malah Tsai turut meletak jawatan sebagai pemimpin partinya berikutan kekalahan ini, namun masih kekal sebagai Presiden Taiwan.

Kini, beliau hanya mempunyai masa yang singkat, iaitu kira-kira 14 bulan sahaja untuk memenangi semula hati rakyat dan memulihkan semula keadaan memandangkan Pilihan Raya Presiden akan berlangsung pada bulan Januari 2020 nanti.

Memetik laporan Bloomberg, calon-calon KMT memenangi 48.8% undian secara keseluruhan, manakala DPP pula hanya meraih 39.2% undian.

Difahamkan, KMT ditewaskan oleh DPP pada tahun 2016 dahulu, dan KMT juga adalah parti yang mempromosikan hubungan yang lebih baik di antara Taiwan dan Tanah Besar China.

Kerajaan China turut menyambut baik kemenangan KMT kerana di bawah pimpinan Tsai, Taiwan menolak tuntutan Beijing bahawa pulau itu tergolong di dalam “Satu China.”

MACAM MANA DPP BOLEH TEWAS?

Dari aspek ekonomi, pentadbiran Tsai merekodkan prestasi yang agak cemerlang. Pertumbuhan ekonomi Taiwan berkembang dengan lebih pesat dan kadar pengangguran juga berada pada tahap yang paling rendah sejak tahun 1990an.

Bukan itu sahaja, pertumbuhan gaji juga meningkat dengan lebih pesat di bawah pimpinan Tsai berbanding bekas presiden, Ma Ying-jeou dari parti KMT.

Tetapi, mengapa rakyat masih marah dan menolak DPP dalam pilihan raya tempatan baru-baru ini?

Menurut sesetengah penyokong Tsai, kekalahan DPP berpunca daripada ketidakpuashatian yang meluas terhadap kepimpinannya.

Tindakannya memotong pencen penjawat awam yang sudah bersara ternyata mencetuskan kemarahan pengundi-pengundi KMT, yang membentuk sebahagian besar daripada sektor perkhidmatan awam Taiwan.

Sementara itu, terdapat juga penyokong-penyokong DPP yang menyatakan bahawa Tsai tidak mengambil usaha yang cukup untuk melaksanakan pembaharuan-pembaharuan yang telah dijanjikan dan tidak menyokong cadangan-cadangan referendum yang progresif.

Walau bagaimanapun, Lai Chung-chiang, ketua kumpulan sivil Economic Democracy Union berkata, walaupun majoriti rakyat telah mengundi KMT, ia tidak bermakna bahawa rakyat Taiwan memilih untuk menjadi lebih rapat dengan China.

 

APA YANG PERLU DILAKUKAN OLEH TSAI UNTUK BANGKIT SEMULA?

Untuk memenangi semula sokongan rakyat, beberapa penganalisis mencadangkan supaya Tsai merapatkan lagi hubungan dengan Amerika Syarikat (AS).

Difahamkan, Taiwan juga membeli senjata buatan AS untuk mempertahankan tanah air daripada sebarang ancaman serta penyatuan secara paksa Taiwan-China yang telah sekian lama ditekan oleh Tanah Besar.

“Beliau (Tsai) perlu menyatakan secara jelas bahawa Taiwan gembira untuk menjalinkan hubungan yang lebih rapat bersama AS,” kata Jou Yi-cheng, bekas penulis ucapan bekas presiden, Chen Shui-bian daripada parti DPP.

Ujar beliau lagi, Tsai juga harus menyatakan secara jelas bahawa Taiwan tidak mempunyai niat untuk terus bertengkar dengan China.

“Taiwan tidak menafikan hubungan budayanya dengan China, tetapi sebaliknya ia (Taiwan) sedang memperjuangkan nilai-nilai universal kebebasan dan demokrasi,” jelas Chen.

Namun, seorang lagi penganalisis, Dr. Sullivan dari Nottingham University pula berpandangan bahawa Tsai perlu mempunyai pendirian yang lebih tegas terhadap China.

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker