Isu SemasaPolitik

Dalam Parlimen Berbalah, Luar Parlimen Berkawan

Ia adalah satu kebiasaan untuk melihat Ahli-Ahli Parlimen (MP) daripada pihak kerajaan dan pembangkang bertengkar atau berselisih pendapat berhubung pelbagai isu ketika persidangan Dewan Rakyat berlangsung.

Walaupun mempunyai pandangan/ideologi politik yang berbeza, ia tidak menghalang mereka untuk berkawan dan saling beramah mesra apabila berada di luar ‘gelanggang’.

Baru-baru ini, terdapat rakaman video dan gambar tular yang menunjukkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan beberapa MP Umno di ruang menunggu Parlimen, dan ini sekali gus menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai situasi semasa politik negara.

Di dalam gambar yang tular itu, Anwar dilihat sedang berbual dengan:

1. Bekas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz

2. Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein

3. MP Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan

4. MP Parit Sulong, Datuk Dr. Noraini Ahmad

5. MP Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim

Sementara itu, sebuah rakaman video berdurasi 49 saat pula menunjukkan Hishammuddin, Anwar dan Nazri sedang ketawa dan bergurau senda. Klik di sini untuk melihat video tersebut.

Di ruang media sosial, ramai netizen menyifatkan kemesraan itu sebagai petanda ada daripada kalangan MP UMNO akan lompat parti untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), lebih-lebih lagi apabila ahli majlis tertingginya, Datuk A. Kadir Jasin mendakwa bahawa terdapat seramai 40 MP parti keramat itu mungkin akan menyertai Bersatu.

Namun begitu, spekulasi berhubung dakwaan lompat parti dinafikan oleh Nazri sambil menyatakan bahawa tiada apa yang tersirat disebalik video dan gambar yang tular itu.

“Ia hanya kebetulan, Saya sedang bercakap dengan Hishammuddin di satu meja dan Anwar datang bersama rakan-rakannya dari Korea dan (kemudian) duduk di belakang saya.

“Hanya selepas itu kami perasan Anwar berada di situ, dan kami menoleh dan bercakap dengannya.

“Anwar tidak bertemu Hishammuddin sejak pilihan raya yang lepas,” katanya sambil menambah bahawa ia hanya pertemuan di antara dua sahabat lama.

Ujar MP Padang Renggas itu lagi, budaya beramah mesra bersama Ahli-Ahli Parlimen daripada pihak lawan ini telah diamalkan olehnya sejak beliau menjadi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang memantau dan mengelolakan aktiviti Parlimen.

“Ini adalah perkara yang elah saya lakukan sejak 2003. Saya memang macam tu. Tiada apa yang baru.

“Sejujurnya, ini adalah perkara biasa di Parlimen. Apabila saya menjadi menteri yang bertanggungjawab (dalam hal ehwal) Parlimen, saya memperkenalkan budaya di mana MP saling beramah mesra dan tidak dilihat berpecah kerana pendirian politik,” kata Nazri.

Sumber: The Star

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker