AntarabangsaIsu Semasa

Militan Masih Tak Serik Walaupun Kubu Kuat Diserang Oleh Tentera Filipina

Pada Jumaat lalu, tentera Filipina telah mengadakan operasi ketenteraan bagi membasmi kumpulan militan Abu Sayyaf di kubu kuat mereka di kepulauan Jolo.

Menurut sumber perisikan serantau, seorang sub komander Abu Sayyaf, Hatib Hajan Sawadjan, tecedera dalam pertempuran dalam pertempuran yang berlangsung selama 90 minit itu, namun berjaya melarikan diri.

Namun begitu, sumber turut mengesahkan bahawa salah seorang saudara Hatib bernama Taha, telah terbunuh dalam insiden tembak-menembak di antara militan dan pihak tentera tersebut.

Taha juga dipercayai tidak terlibat secara langsung dalam kegiatan-kegiatan penculikan yang dilakukan oleh Abu Sayyaf, tetapi dia menjadi salah seorang individu utama yang menjaga tebusan.

Walaupun telah diserang hebat oleh pihak berkuasa, kumpulan militan berkenaan dilaporkan masih tidak serik dan terus menyasarkan Sabah sebagai lokasi untuk menjalankan kegiatan penculikan mereka.

Sumber menambah bahawa Hajan bersama seorang lagi sub komander, Indang Susukan, telah menghantar beberapa kumpulan ke lautan Sulu di antara Tawi-Tawi dan pantai timur Sabah untuk menculik mangsa-mangsa yang ‘bernilai tinggi.’

Dalam pada itu, Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Datuk Hazani Ghazali dalam satu kenyataan berkata, pasukan keselamatan di timur Sabah telah berjaya menggagalkan sekurang-kurangnya 10 cubaan penculikan oleh kumpulan penculik rentas sempadan Filipina yang cuba menyusup masuk ke negeri berkenaan.

Ujar Hazani, penceroboh-penceroboh itu dikesan menerusi peronda udara dan mereka kemudian melarikan diri apabila peronda laut bergerak lebih dekat ke arah sempadan perairan dengan Tawi-Tawi.

“Kita mempunyai kerjasama yang baik dengan rakan-rakan (pihak berkuasa) di selatan Filipina yang memberi kami maklumat mengenai pergerakan jenayah di sempadan,” katanya.

MILITAN BERSEMBUNYI DI SABAH SELAMA BERTAHUN-TAHUN

Sementara itu, sumber perisikan turut mendedahkan bahawa tujuh anggota militan Abu Sayyaf yang ditahan di Sabah baru-baru ini telah bersembunyi di negeri itu selama tiga sehingga lima tahun.

Difahamkan, mereka menyusup masuk dan bersembunyi di Sabah untuk melarikan diri daripada pihak berkuasa Filipina.

“Mereka masuk Sabah secara haram melalui Sandakan. Pihak berkuasa kini sedang menyiasat siapa yang terlibat dalam ‘menjaga’ laluan mereka untuk masuk ke Sabah,” kata sumber.

Menurut laporan, kesemua suspek telah ditahan oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman di Tenon, Ranau dan Kinarut di antara 30 Oktober dan 12 November 2018.

Polis Malaysia juga berjaya menangkap seorang lelaki tempatan di Putrajaya yang disyaki menyalurkan dana kepada Akel Zainal, iaitu ketua militan IS yang kini berada di Syria.

Dalam pada itu, sumber perisikan menyatakan bahawa Abu Sayyaf merancang untuk membawa lebih ramai anggota mereka masuk ke Malaysia.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, operasi besar-besaran telah dilaksanakan untuk menjejaki serpihan-serpihan pengganas Filipina di negeri itu.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker