AsiaMalaysiaPolitik

Malaysia dan Indonesia: Pendukung Sistem Demokrasi

Di negara lain di dunia, Donald Trump, Xi Jinping, Vladimir Putin, Recep Erdogan, Viktor Orban dan Rodrigo Duterte adalah beberapa nama yang menguasai tajuk utama sebagai pemimpin yang menerajui perarakan dunia ke arah pemerintahan autoritarianisme.

Pada bulan Januari, Indeks Demokrasi Unit Perisikan Ekonomi 2018 melaporkan bahawa demokrasi terus “mundur” di seluruh dunia. Majalah TIME baru-baru ini mengisytiharkan bahawa “asas kepemimpinan baru telah muncul. Kita kini berada di era autoritarian.”

Sekiranya ini adalah senario yang berlaku di Brazil, Amerika Syarikat, China, Rusia, Turki dan Filipina, keadaan politik di Kepulauan Melayu adalah sebaliknya.

Pada bulan Mei, politik Malaysia berubah secara mendadak apabila pembangkang untuk kali pertama dalam tempoh 60 tahun kemerdekaan berjaya mengalahkan kerajaan Barisan Nasional. Kebertanggungjawaban, keterbukaan dan kemajuan demokratik akhirnya berjaya dicapai.

Walaupun ramai pemerhati Barat terus berhujah bahawa demokrasi tidak bersesuaian dengan amalan Islam, Indonesia dan Malaysia membuktikan sebaliknya. Dengan politik Indonesia sebagai yang terkuat di Asia Tenggara dan Malaysia yang sedang mengikut jejak, kedua-dua negara majoriti Muslim ini mendukung amalan demokrasi di jalan yang betul.

Reformasi Penggerak Demokrasi

Ketika Pilihan Raya Umum Malaysia pada Mei lalu, Indonesia merayakan 20 tahun Reformasi. Protes dari pakatan mahasiswa sivil, kumpulan dan wanita Islam pada tahun 1998 menyaksikan diktator Indonesia yang dikritik lebih dari tiga dekad, Soeharto berjaya diturunkan.

Sejak itu Indonesia telah dilahirkan semula dengan kemunculan pelaku politik bukan tradisional termasuk ahli kesatuan sekerja, aktivis hak dan feminis serta kemunculan semula Islamis yang kuat; dan penubuhan pelbagai institusi anti-rasuah dan perlindungan hak asasi manusia.

Presiden Indonesia Joko Widodo didakwa mempunyai kecenderungan autoritarian, terutama selepas mengharamkan kumpulan Hizbut Tahrir yang berkempen supaya Indonesia mengamalkan undang-undang Islam dan menjadi khalifah.

Tetapi tidak seperti kebanyakan ketua negara di rantau ini, Jokowi kurang mengenepikan media dan tidak mengancam NGO, malah berterusan menerima sokongan melalui pembinaan infrastruktur luar bandar dan memberi hak tanah kepada kumpulan pribumi.

Malaysia seperti sedikit ketinggalan dalam agenda Reformasi. Tetapi pada Mei 2018, Perdana Menteri Najib Razak diturunkan oleh pengundi walaupun didakwa menggunakan sistem pengundian palsu dan melakukan persempadanan kawasan yang tidak adil.

Kekalahan yang tidak dijangka itu sebahagian besarnya disebabkan oleh tuduhan mencuri beratus-ratus juta dolar dari dana 1Malaysia Development Berhad atau 1MDB dan pengaruh PM terkini, Dr. Mahathir Mohamad.

Semasa berkuasa antara tahun 1981 dan 2003, Mahathir dikenali kerana sikap tidak bertoleransi terhadap pengkritik dan sejak itu diakui sebagai “diktator”. Namun pemimpin 93 tahun itu membuktikan dirinya bukanlah diktator apabila mengkritik pihak berkuasa kerana menangkap seorang lelaki yang didakwa memfitnahnya dan Islam di Facebook.

Demokrat dan Islam di ASEAN

Pakar konservatif di Barat telah lama berpendapat bahawa demokrasi tidak bersesuaian dengan amalan Islam. Tetapi sejak tahun 2004, Indonesia telah mengadakan pemilihan Presiden yang kompetitif yang dianggap bebas serta adil oleh pemerhati antarabangsa.

Di rantau Mekong, kebanyakan negara-negara ASEAN mengamalkan politik kapitalis autokratik seperti yang berlaku di negara China. Walau bagaimanapun, cerita yang berbeza sedang dimainkan di bahagian Melayu kepulauan Asia Tenggara.

Kerajaan baru Malaysia telah membatalkan beberapa projek yang dianggap mengancam kedaulatan negara, manakala pembangkang Indonesia berikrar untuk mengkaji semula projek Jalan China jika dipilih dalam pilihan raya presiden 2019. Kedua-dua negara berhati-hati untuk mengekalkan hubungan baik dengan Barat dan India, serta rakan perdagangan mereka di Timur Tengah.

Kebanyakan dunia mungkin mempunyai keraguan tentang demokrasi. Di Australia sendiri, sebagai veteran pendukung amalan demokrasi di Asia Pasifik, baru-baru ini memperlihatkan bahawa satu pertiga daripada penduduknya menyukai pemimpin jenis autoritarian atau “strongman”. Tetapi dalam dunia Melayu Muslim, ia kelihatan seperti demokrasi masih lagi subur. – Al-Jazeera

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker