AntarabangsaIsu Semasa

Hanya Kerana Satu Keputusan Presiden Perancis, Paris Terus Menjadi Huru-Hara

Baru-baru ini, protes anti kerajaan besar-besaran telah berlaku di ibu kota Perancis, Paris bagi membantah kenaikan cukai bahan api.

Memetik laporan Channel News Asia, demonstrasi ganas yang telah bermula sejak minggu lepas sehingga 24 November 2018 itu menyaksikan pertembungan di antara ribuan penunjuk perasaan yang memakai jaket kuning dan pihak polis.

Bukan itu sahaja, malah terdapat juga trak yang dibakar manakala kedai-kedai mewah serta lampu trafik turut dirosakkan.

Berikutan itu, kira-kira 30 orang telah tercedera sementara 101 orang penunjuk perasaan pula ditahan oleh polis.

Menteri Ekonomi, Bruno Le Maire menyatakan bahawa krisis yang sedang berlaku ini bukan sahaja disebabkan isu kenaikan harga minyak, tetapi lebih daripada itu.

Tegas beliau, adalah amat penting bagi kerajaan pimpinan Presiden Emmanuel Macron untuk berusaha meningkatkan taraf kehidupan rakyat di negara tersebut.

“Sudah tiba masanya untuk mendengar cakap rakyat Perancis,” katanya sambil menambah bahawa Macron perlu mengadakan perbincangan di peringkat akar umbi di seluruh negara berhubung dasar-dasar kerajaan.

Menurut kenyataan  dari Istana Presiden, Macron akan memberi ucapan mengenai peralihan ekologi pada minggu hadapan, di mana beliau juga dijangka akan membincangkan isu protes berkenaan.

Sementara itu, pemimpin-pemimpin pembangkang menyatakan bahawa protes yang dicetuskan oleh penunjuk-penunjuk perasaan akar umbi itu telah diaturkan menerusi media sosial dan mendapat sambutan yang ‘memberangsangkan’ daripada rakyat Perancis.

“Apabila sebuah pergerakan mendapat sokongan tiga perempat penduduk Perancis, anda (kerajaan) perlu memberi mereka jawapan, (dan) bukan hanya menganggap mereka sebagai kumpulan samseng,” kata Oliier Faure, pemimpin parti Sosialis.

Difahamkan, salah satu faktor yang membawa kepada kemenangan Macron dalam pilihan raya yang lalu ikrar beliau untuk memberi pendapatan yang lebih kepada golongan pekerja.

Namun dasar perniagaan yang diperkenalkan oleh beliau masih belum lagi berjaya menangani isu pengangguran dan kuasa membeli dengan berkesan setakat ini.

Berdasarkan sebuah tinjauan pendapat pada minggu lepas, populariti beliau hanya mencatatkan 25%, dan protes yang berlaku turut mencerminkan kekecewaan rakyat terhadap Macron yang turut mendapat gelaran “presiden untuk orang kaya sahaja”.

Kebanyakan daripada penunjuk perasaan adalah daripada golongan yang berpendapatan rendah, dan mereka amat berang dengan keputusan presiden untuk meningkatkan cukai anti-pencemaran ke atas minyak diesel, sementara cukai ke atas golongan kaya pula tidak dikenakan.

“Saya bukan sahaja berjuang untuk menentang kenaikan harga minyak. Ia mengenai cukai yang kita bayar,” ujar seorang penunjuk perasaan bernama Catherine Marguier.

 

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button